Sumber Gambar: Zulhelmi Zainal Azam

Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 diantara pasukan Terengganu FC menentang Perak sudah mula dijual hari ini. Seperti biasa, timbul isu ada sebahagian peminat yang tidak mendapatkan tiket. Peminat Terengganu FC meluahkan kekecewaan mereka dengan jumlah tiket yang dijual di kaunter Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Menurut laporan Harian Metro, ada peminat yang menyatakan rasa tidak puas hati kerana Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya menyediakan 2,000 tiket sedangkan jumlah diperuntukkan untuk negeri iaitu sebanyak 30,000 keping.

“Saya sudah tempah van untuk ke Shah Alam tetapi dipulangkan semula wang tempahan itu oleh pemilik van kerana bimbang tiket tidak mencukupi.

“Kerana terlalu berharap untuk menyaksikan perlawanan akhir, saya sanggup datang ke kaunter seawal jam 6.30 pagi,” katanya ketika ditemui di kaunter tiket dekat SSINS di sini, hari ini. Othaman berkata, dia tidak pernah menyaksikan perlawanan akhir justeru berharap dapat meraih pengalaman pertama ketika Terengganu FC (TFC) bertemu Perak.

“Tujuh tahun saya menantikan kejayaan Terengganu ke pentas akhir tetapi terpaksa berhadapan dengan masalah ini dan harapan ke Shah Alam menjadi samar.

“Saya harap PBSNT lebih telus dalam penjualan tiket supaya semua peminat berpeluang mendapatkan tiket,” kata Mohd Othman Omar, 35, dari Kampung Kijing.

Bahkan ada peminat Terengganu yang mendedahkan satu kaunter yang dibuka telah menyebabkan pergaduhan berlaku diantara peminat.

Saban tahun, apabila melibatkan perlawanan akhir sesebuah kejohanan terutamanya Piala Malaysia, isu tiket tidak mencukupi pasti timbul dan perkara ini seakan-akan tiada penghujungnya.

Penjualan tiket di atas talian juga dikhabarkan mengalami masalah apabila pengguna tidak dapat mengakses laman web yang menjual tiket perlawanan akhir ini. Selain itu, tiket yang dijual di atas talian juga habis dalam tempoh masa kurag daripada 10 minit.

Apa yang pasti, diharapkan pengelola Liga, Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencari cara yang lebih efisien dan juga memudahkan peminat untuk membeli tiket.

Baca Juga: Irfan Bakti Kekal Membimbing Terengganu FC

Leave a Reply