Sumber Gambar: Perak TBG

Pemain sayap Perak, Nor Hakim Hassan tidak mengalami kecederaan serius dan berkemungkinan besar beliau boleh diturunkan pada perlawanan menentang Terengganu FC malam ini.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, pemeriksaan MRI dijalankan terhadap pemain itu mendapati lutut pemain berusia 27 tahun itu tidak mengalami kecederaan serius.

“Mujur dia (Nor Hakim) tidak mengalami kecederaan serius namun keputusan sama ada pemain itu akan beraksi atau tidak hanya akan ditentukan pada latihan terakhir.

“Bukan saja Nor Hakim, Wander Luiz dan Kenny (Palraj) juga mengalami kecederaan dan keputusan sama ada mereka akan diturunkan akan ditentukan selepas latihan terakhir,” kata Mehmet kepada Berita Harian.

Nor Hakim sebelum ini dilaporkan cedera selepas terpaksa dikeluarkan pada separuh akhir kedua dengan Sabah di Stadium Likas, Ahad lalu yang menyaksikan Perak melangkah ke final dengan agregat 7-2.

Durakovic menambah, pemainnya sudah bersedia membuat perhitungan dengan pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu dan mempunyai azam tinggi untuk menjulang piala paling berprestij itu.

“Sebahagian besar pemain Perak kali pertama beraksi pada perlawanan akhir dan mereka cukup teruja beraksi di hadapan lebih 70,000 penonton.

“Saya yakin perlawanan ini pasti tidak mudah buat kedua-dua pasukan dan pasukan yang kurang melakukan kesilapan serta menumpukan sepenuh perhatian akan meraih kejayaan,” katanya.

Nor Hakim menjadi salah satu pemain yang beraksi dengan baik bagi pasukan Perak dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Kelibat beliau di bahagian serangan seringkali menghadirkan ancaman kepada barisan pertahanan lawan.

Jika diturunkan, maka Nor Hakim akan bergandingan dengan Gilmar Da Silva dan Wander Luiz bagi merobek benteng pertahanan pasukan Terengganu FC malam ini.

Baca Juga: Tiada Laluan Mudah Capai Kejuaraan – Kipre Tchetche

Leave a Reply