Sumber Gambar: Terengganu FC

Ketua pasukan Terengganu FC, Kipre Tchetche menegaskan tiada laluan mudah untuk menamatkan penantian selama 17 tahun memenangi Piala Malaysia dimana pasukan beliau akan turun menentang pasukan Perak di Stadium Shah Alam pada perlawanan akhir edisi 2018 malam ini.

Meskipun sudah menumbangkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim pada perlawanan separuh akhir, namun perkara tersebut bukanlah jaminan mereka boleh muncul juara pada malam ini.

“Perak pasukan yang bagus dan bagi saya tiada sesiapapun yang menjadi pilihan untuk final malam esok. Malah, kalau dilihat pada pertemuan terdahulu masing-masing mencatat dua kemenangan daripada empat perlawanan antara kami musim ini.

“Ini adalah final dan ia adalah pentas berbeza berbanding ketika separuh akhir menentang JDT. Bagi saya kemenangan ke atas JDT tidak akan memberi sebarang makna sekiranya tidak julang Piala Malaysia.

“Jadi, untuk membuktikan sebagai pasukan terbaik di Malaysia kami perlu memenangi perlawanan final malam esok,” katanya kepada Berita Harian.

Kipre menjadi watak utama dalam perjalanan Terengganu FC menuju ke final dimana beliau beraksi dengan cemerlang pada kedua-dua perlawanan separuh akhir ketika menewaskan pasukan JDT.

Pemain import dari Ivory Coast itu kini hanya ketinggalan satu gol di belakang penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula yang mengungguli senarai penjaring terbanyak dengan lapan gol.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenainya (anugerah penjaring terbanyak). Apa yang penting kemenangan pasukan, lagipun semua pemain boleh jaringkan gol.

“Saya berjuang untuk pasukan, malah kemenangan Terengganu lebih menggembirakan saya berbanding anugerah berkenaan. Saya pasti hanya gelaran Piala Malaysia mampu menggembirakan penyokong Terengganu,” tambah Kipre.

Apa yang pasti, tiada laluan mudah untuk kedua-dua pasukan sekiranya mereka mahu menamatkan penantian lama untuk menjulang trofi paling berprestij ini. Barisan serangan kedua-dua pasukan perlu berada dalam prestasi terbaik kerana sudah pasti mereka bakal menjadi harapan utama untuk merobek gawang lawan.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan antara pasukan Terengganu FC menentang pasukan Perak pada malam ini? Pasuka mana yang akan muncul sebagai juara Piala Malaysia edisi 2018?

Baca Juga: Para Pemain Sedia Berikan Yang Terbaik

Leave a Reply