Sumber Gambar: Zonabola.om

Kurang dari 2 minggu lagi, tumpuan peminat bolasepak Malaysia ke arah skuad utama negara. Selepas
berakhirnya kejohanan AFC B-19, kita akan menyaksikan Piala AFF Suzuki yang diadakan buat kali
keduabelas sejak penganjuran pertama tahun 1996.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara pada tahun 2010, naib juara pada tahun 1996 dan 2014 dan
separuh akhir sebanyak 5 kali (termasuk tempat ketiga pada tahun 2000 dan 2004, dan tempat
keempat pada tahun 2002).

Pada awalnya, Piala AFF Suzuki yang mendapat penajaan Tiger pada edisi sulung dikenali sebagai Piala Tiger, sehingga pada edisi keenam, Tiger tidak lagi menaja kejohanan ini, dan ianya dikenali sebagai Kejohanan AFF. Hanya selepas Suzuki menaja pada edisi ketujuh, kejohanan ini akhirnya dikenali sebagai Piala AFF Suzuki – sehinggalah sekarang.

Pada tiga edisi pertamanya, Piala Tiger menggunakan format 1 negara sebagai tuan rumah, di mana
penentuan tempat ketiga digunakan bagi negara yang kalah di separuh akhir. Begitu juga perlawanan akhir yang diadakan dalam satu perlawanan sahaja.

Namun pada edisi 2002, tuan rumah menjadi 2 negara, dan perlawanan akhir dan tempat ketiga diadakan di salah satu negara tuan rumah. Format perlawanan akhir akhirnya berubah pada edisi 2004 apabila sistem home and away digunakan sehingga sekarang.

Sebagai rekod, hanya empat negara pernah menjulang kejuaraan. Thailand mendominasi kejohanan
ini apabila menjuarai sebanyak 5 kali (1996, 2000, 2002, 2014, 2016), diikuti Singapura sebanyak 4 kali (1998, 2004, 2007, 2012). Hanya Vietnam (2008) dan Malaysia (2010) memecahkan dominasi
Thailand-Singapura.

Berdasarkan rekod, Thailand juga merupakan negara yang paling kerap layak ke perlawanan akhir (8
kali), diikuti Indonesia (5 kali), Singapura (4 kali), Malaysia (3 kali) dan Vietnam (2 kali). Hanya Singapura yang sentiasa menjuarai piala apabila layak ke perlawanan akhir, sebaliknya Indonesia sentiasa gagal menjuarai piala apabila layak ke perlawanan akhir.

Sebanyak 11 negara telah ikut serta dalam kejohanan ini, di mana Indonesia, Malaysia, Myanmar,
Singapura, Thailand dan Vietnam tidak pernah ketinggalan. Filipina dan Laos terlepas satu edisi
(Filipina pada 2008, Laos 2016), Kemboja pula ikut serta sebanyak 6 kali, sementara Timor Leste akan membuat penampilan kedua pada tahun ini. Brunei Darussalam hanya sekali membuat penampilan
pada 1996, di mana pada masa itu semua negara Asia Tenggara ikut serta.

Bekas pemain Singapura, Noh Alam Shah merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan
17 gol dalam 4 kejohanan. Noh Alam Shah diikuti oleh Teerasil Dangda, Worrawoot Srimaka (keduaduanya Thailand) dan Lê Công Vinh (Vietnam) dengan 15 gol.

Pemain Malaysia yang menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman adalah Safee Sali dan Indra Putra Mahayuddin (9 gol). Namun selepas Teerasil Dangda dan Safee Sali tidak dipanggil untuk edisi kali ini, mungkin ini peluang Khairul Amri (Singapura) yang telah menjaringkan 10 gol bagi menambah jumlah jaringan.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Baca Juga: Faiz Nasir Layak Beraksi Bersama Harimau Malaya

Leave a Reply