• Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari meminta semua pihak berdiri teguh di belakang kepimpinan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan memberikan ruang kepada baginda untuk menguruskan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

    Amirudin berkata ahli gabungan seharusnya bersabar dan memberi peluang kepada Presiden FAS dan Exco untuk melaksanakan perubahan.

    “Saya mengambil berat dan mengikuti dengan teliti perkembangan terbaru FAS khususnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Amir, hari ini.

    “Pentadbiran negeri menyambut baik dan menyokong penuh usaha dan agenda pembaharuan yang cuba dilaksanakan oleh Presiden FAS sejak beliau memegang tampuk pentadbiran FAS.

    “Sokongan dan komitmen kerajaan negeri ini dizahirkan dalam pelbagai aspek antaranya dengan suntikan dana berjumlah RM5 juta bagi menyelesaikan beberapa tunggakan pentadbiran FAS sebelum ini.

    “Sokongan kerajaan negeri kepada FAS adalah atas keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan Raja Muda Selangor sebagai Presiden FAS serta harapan peminat bola sepak negeri yang mahukan FAS berjaya,” katanya kepada Berita Harian.

    Tambah Amirudin Shari, pertelingkahan dan juga perpecahan dalam FAS hanya akan menyebabkan penyokong hilang kepercayaan terhadap Persatuan itu.

    “Perlu diingat agenda ini tidak akan membuahkan hasil sekelip mata sebaliknya memerlukan masa dan sokongan semua pihak untuk direalisasikan.

    “Justeru saya menyeru kepada ahli Exco FAS dan kelab gabungan serta persatuan yang bernaung di bawah FAS supaya memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Raja Muda Selangor selaku Presiden FAS.

    “Saya percaya jika aspek musyawarah dan perbincangan dikekalkan beberapa salah faham yang timbul dapat dirungkaikan demi masa bola sepak Selangor.”

    Sebelum ini, segelintir kelab gabungan menuntut supaya kongres luar biasa (EGM) diadakan untuk memilih Exco baru kerana berpendapat pelantikan dua Naib Presiden, Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon dibuat tidak mengikut perlembagaan selain beberapa ketirisan lain.

    Baca Juga: Pihak Tidak Bertanggungjawab Mahu AGM FAS

    Leave a comment

    Your email address will not be published.