• Ketua jurulatih pasukan bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak menggesa para pemain beliau untuk memperbaiki segala kesilapan mudah yang dilakukan pada perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Arab Saudi pada Sabtu.

    Skuad Harimau Malaya tewas tipis dengan keputusan 2-1. Meskipun Hadi Fayyadh berjaya menjaringkan satu gol untuk merapatkan kedudukan, namun Arab Saudi berjaya mencatat kemenangan sulung.

    Bekas pengendali pasukan Kelantan itu walaubagaimanapun tetap menaruh kepercayaan bahawa anak buahnya mampu bangkit bagi aksi kedua berdepan Tajikistan pada Selasa ini.

    “Pertahanan melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya dengan memberi ruang untuk pemain lawan (Arab Saudi) untuk menjaringkan gol.

    “Jadi, untuk pergi jauh dalam kejohanan ini, kami perlu meningkatkan lagi persembahan dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan terutamanya kesilapan muda,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Meskipun tewas tipis kepada Arab Saudi, namun Bojan tetap berpuas hati dengan persembahan para pemain beliau.

    “Saya tidak kecewa, saya bangga dengan pemain yang memberikan tentangan sengit sepanjang 90 minit. Secara teknikalnya kami tidak berada pada tahap terbaik.

    “Berdepan Arab Saudi yang juga satu daripada pasukan terbaik Asia memang sukar. Mereka lebih berpengalaman dan jika anda tanya saya secara keseluruhan, ia satu persembahan yang baik (daripada pemain saya),” katanya.

    Pada perlawanan kedua kumpulan, Malaysia akan berdepan Tajikistan dan pasukan bimbingan Bojan Hodak wajib menang jika mereka layak ke pusingan seterusnya. Tajikistan sebelumnya berjaya menewaskan pasukan China dengan keputusan 1-0.

    Apa yang pasti, bahagian tengah dan juga pertahanan menjadi bahagian yang perlu diberikan tumpuan lebih oleh Bojan. Dua bahagian ini sedikit tidak berfungsi pada perlawanan pertama dan perkara tersebut telah mencacatkan corak permainan pasukan negara.

    Jika Malaysia berjaya mencatat kemenangan pada esok, maka peluang untuk mara ke peringkat suku akhir masih lagi terbuka buat mereka.

    Pasukan yang mara sehingga ke peringkat separuh akhir akan mendapat slot automatik untuk beraksi dalam temasya Piala Dunia Bawah 20 Tahun yang akan diadakan di Poland tahun hadapan.

    Baca Juga: Harimau Malaya Tidak Gentar

    Leave a comment

    Your email address will not be published.