• Bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Shukor Salleh berpendapat keadaan semasa pusat latihan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) menjadi punca utama kegagalan skuad bawah 16 tahun negara pada temasya AFC Bawah 16 Tahun.

    Datuk Shukor merasakan keadaan pusat latihan yang tidak selesa itu menjadi penyumbang besar kepada kegagalan skuad bawah 16 tahun negara.

    “Bagaimana kita mahu melahirkan pemain dan pasukan yang berkualiti jika perkara asas diperlukan mereka seperti kelengkapan peralatan, padang latihan dan aspek pemakanan diabaikan.

    “Kekurangan ini memberi kesan psikologi kepada pemain. Anak-anak muda ini bukan sekadar memerlukan tunjuk ajar di dalam padang malah aspek kasih sayang untuk melahirkan mereka sebagai pemain yang cintakan negara.

    “Tapi, kalau dah makan pun kena catu dan tidak berkhasiat, macam mana nak main bagus. Hari itu saya terkejut mereka gagal tapi jika begitu keadaan di AMD, memang patutlah kita gagal,” katanya kepada Berita Harian.

    Datuk Shukor Salleh turut hairan dengan pihak yang mengelola pusat latihan terbabit yang mengambil sikap berdiam diri dengan segala kepincangan dan kerosakan yang berlaku.

    “Kalau menteri tak pergi jenguk, mungkin hal ini terus dirahsiakan. Soal mengapa selama ini mereka termasuk (Lim) Teong Kim selaku pengarah akademi itu hanya mendiamkan diri sedangkan ini isu serius.

    “Kelemahan seperti ini tidak patut berlaku kerana ia sebuah projek besar yang menelan belanja berpuluh-puluh juta ringgit. Banyak duit dan tenaga dicurahkan ke situ.

    “Satu lagi, ingat, akademi ini membawa nama (Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari, janganlah kita rosakkan nama legenda kita itu dengan soal begini,” tegasnya.

    Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan lawatan mengejut ke atas pusat latihan tersebut pada Jumaat lalu dan beliau meluahkan rasa kecewa.

    Apa yang pasti, pihak yang dipertanggungjawabkan perlu segera menyelesaikan masalah yang berlaku agar aktiviti pemain dan tenaga pelatih tidak terjejas.

    Baca Juga: NFDP Sepatutnya Lebih Proaktif

    Leave a comment

    Your email address will not be published.