• Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk skuad Harimau Malaya mara ke final Piala AFF Suzuki edisi 2018. Mereka masih lagi kekal dengan pendirian tersebut walaupun pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe masih lagi belum mencapai prestasi terbaik.

    Menurut Datuk Hamidin, masih ada ruang yang boleh diperbaiki oleh anak-anak buah Tan Cheng Hoe selepas tewas tipis kepada pasukan Kyrgyzstan dengan keputusan 1-0 Selasa lalu.

    “Kadang-kadang dalam bola sepak kita sukar nak faham, pasukan Datuk Ong Kim Swee (skuad Bawah 23 tahun) kalahkan Korea Selatan di Jakarta dan kita hanya ada dua peluang tapi kita jaringkan dua gol untuk menang.

    “Semalam kita ada 15 peluang untuk jaringkan gol tapi tak boleh, akhirnya kita kalah. Tapi kita tidak boleh sekadar lihat persembahan di dalam padang kerana keputusan juga mustahak. Kita tunggu perlawanan dengan Maldives dan Piala AFF, kita kena bagi ruang kepada Cheng Hoe.

    “Dulu Nelo (Vingada) tak pernah menang dan sekarang (Cheng Hoe) ada empat menang tiga kalah dan satu seri, jadi ada peningkatan,” katanya kepada Berita Harian.

    Pada perlawanan persahabatan bulan ini, pasukan negara mencatat satu kemenangan apabila menewaskan pasukan Sri Lanka dan satu kekalahan dimana kita tewas kepada pasukan Kyrgyzstan.

    Sebelum berangkat ke Phnom Penh bagi menghadapi Kemboja pada perlawanan pertama kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 pada 8 November nanti, pasukan negara akan menjalani satu lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang pasukan Maldive di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November.

    Datuk Hamidin menambah pihaknya tidak akan bersikap terburu-buru untuk mengambil tindakan terhadap jurulatih andai sasaran diletakkan itu gagal dicapai.

    “Saya sudah umumkan dulu lagi, sejak dipilih sebagai presiden, sasaran untuk Sukan SEA tahun depan dan Piala AFF adalah final, tapi bukan bila tak masuk saya akan pecat beliau (jurulatih). Kita ada analisa kita sendiri nanti,” kata Hamidin.

    Apa yang pasti, sokongan penuh diberikan kepada Tan Cheng Hoe bagi membina pasukan mantap sekaligus cuba untuk meraih trofi yang kali terakhir pulang ke bumi Malaysia pada 2010 itu.

    Baca Juga: 5 Pemain Yang Harus Dipanggil Tan Cheng Hoe

    Leave a comment

    Your email address will not be published.