• Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyatakan pihaknya belum lagi membuat kata putus mengenai Kongres Luar Biasa (EGM) sama ada menerima atau menolak kongres tersebut.

    Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui FAS sudah menerima notis daripada ahli gabungan yang masih berhasrat melangsungkan EGM namun menjelaskan belum masanya untuk mengambil tindakan selanjutnya.

    “Ya kami ada terima notis berhubung pengumuman itu tetapi kami belum memutuskan sebarang keputusan lagi.” Ia perlu dibincangkan lebih dengan lanjut dalam mesyuarat berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat,” kata Dr Johan kepada Berita Harian.

    Sebelumnya, ahli gabungan dilihat terus mendesak FAS untuk melangsungkan EGM dan membuat spekulasi kongres tersebut akan diadakan pada 8 November ini.

    EGM yang mahu dilangsungkan itu menuntut rombakan sepenuhnya membabitkan EXCO namun ahli gabungan tetap mahukan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal menerajui persatuan itu.

    Beberapa bekas pemain Selangor seperti Khalid Ali membidas EGM yang dimahukan oleh ahli gabungan FAS dan beranggapan perkara ini boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam FAS.

    “Ahli gabungan sepatutnya berasa lega apabila Raja Muda bersetuju untuk menerajui FAS. Dalam keadaan kewangan persatuan yang tenat, baginda adalah individu paling layak untuk menjadi penyelamat.

    “Kita yang di belakang sepatutnya menyokong bukannya membuat kacau. Saya berasa geram betul dengan kumpulan ini. Kalaulah Raja Muda menarik diri sebagai presiden, adakah mereka mampu menyelesaikan masalah kewangan FAS dan menaikkan semula pasukan Selangor?” soal Khalid.

    Khalid Ali menambah Tengku Amir sebagai adalah individu yang ikhlas untuk memajukan bola sepak Selangor serta mempunyai minat mendalam.

    “Baginda mewarisi sifat ayahanda baginda yang meminati bola sepak serta amat mengambil berat mengenai pasukan Selangor.

    “Saya masih ingat ketika baginda Sultan Selangor sekarang menjadi Raja Muda dahulu, baginda pernah mencemar duli turut ke padang melihat kami berlatih dan kemudian menghulurkan minuman kepada setiap pemain apabila tamat latihan,” imbas Khalid.

    “Selangor pernah jadi juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, tapi kini saya lihat taraf pasukan itu sudah macam budak sekolah. Apa sumbangan kumpulan itu selama ini?

    “Jadi, nasihat saya tak payahlah nak buat kecoh-kecoh, nak adakan EGM dan sebagainya. Kalau tidak mahu menyokong atau membantu sekalipun, jangan pula hendak jadi perosak.

    “Biarlah Raja Muda buat kerjanya, malah saya percaya siapapun yang baginda lantik sudah tentu kerana baginda yakin dengan kemampuan orang itu untuk bekerjasama menaikkan semula martabat bola sepak Selangor,” kata Khalid.

    Baca Juga: Sedar Dirilah Wahai Ahli Gabungan FAS!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.