• Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan laporan prestasi 100 hari bagi penggal 2018-2021. Pengumuman ini sempena kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin yang sudah mengemudi FAM sejak 14 Julai 2018.

    “Sejajar dengan falsafah FAM untuk mengamalkan konsep bermuhasabah, FAM dengan ini berbesar hati mengumumkan laporan prestasi 100 hari selain menjejak garis masa elemen dan dasar teras kepimpinan untuk penggal 2018-2021 seperti yang telah dinyatakan Dato’ Haji Hamidin pada hari pertama beliau bergelar Presiden FAM tempoh hari.

    “Kaedah pengurusan metrik dalam bentuk peratusan yang dipaparkan dalam info grafik ini adalah sebagai usaha FAM untuk memantau prestasi pengurusan dan unsur-unsur utama di sebalik teras dasar kepimpinan yang telah ditetapkan oleh Dato’ Haji Hamidin.

    “Lima perkara asas teras kepimpinan dan harapan Dato’ Haji Hamidin selaku Presiden FAM untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun menyaksikan perkara asas pertama iaitu Tadbir Urus – Pengurusan & Pentadbiran sudah mencapai 28%, perkara asas kedua – Pasukan Kebangsaan 50%, perkara asas ketiga – Program Pembangunan 39%, perkara asas keempat – Pertandingan 15% dan perkara asas kelima – Pemasaran & Komunikasi 24%.

    “Secara keseluruhan, dalam tempoh hanya 100 hari ini saja, 31.2% teras kepimpinan bagi jangka masa tiga tahun ini sudah pun berjaya dilaksanakan oleh FAM. Sudah tentu ia tidak terhenti setakat ini dan pasti akan diteruskan lagi usaha serta kerja keras sepanjang tempoh tiga tahun sehingga berakhirnya penggal kali ini iaitu pada tahun 2021,” menurut kenyataan FAM.

    Selain teras kepimpinan tersebut, tempoh 100 hari pertama ini juga telah menampakkan perkembangan cukup positif apabila beberapa kejayaan dicapai oleh FAM, antaranya:

    1. Merangkul Anugerah Dream Asia AFC atas kerja-kerja pembangunan akar umbi

    2. Menganjurkan dengan jayanya Kejuaraan B-16 AFC 2018, yang juga kejohanan pertama AFC yang dianjurkan FAM sejak Piala Asia 2007

    3. Memeterai perjanjian dengan CustomCraft (M) Sdn Bhd sebagai rakan komersial terbaharu

    4. Muncul juara Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Indonesia

    5. Muncul tempat ketiga Kejuaraan B-16 AFF 2018 di Indonesia

    6. Menampilkan Mohamadou Sumareh sebagai pemain naturalisasi pertama untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya

    7. Melancarkan kursus Diploma Eksekutif Pengajian Bola Sepak UiTM

    FAM menambah, sudah tentu banyak lagi perkara positif dan kejayaan akan dapat dicapai selepas ini jika seluruh warga kerja FAM termasuk Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif serta Sekretariat Agung yang diketuai Stuart Ramalingam terus bekerja keras.

    Pada masa sama, ahli-ahli gabungan FAM serta warga bola sepak di seluruh negara termasuk para penyokong semua turut tampil memberikan kerjasama penuh dan sokongan berterusan demi kita sama-sama berjuang untuk memartabatkan bola sepak Malaysia.

    Baca Juga: Tan Cheng Hoe Sambut Cabaran FAM

    Leave a comment

    Your email address will not be published.