• Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan masa depan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) lebih penting berbanding isu pemecatan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun negara.

    Menurut Kim Swee nasib pemain muda di bawah kelolaan NFDP adalah jauh lebih penting serta perlu diselesaikan segera kerana dikhuatiri akan mengganggu konsentrasi pemain selepas ini.

    “Saya tidak suka untuk menyentuh berkenaan isu pemecatan atau melantik mana-mana jurulatih kerana ada perkara lain yang jauh lebih penting.

    “Perkara yang lebih pen­ting dan kita perlu tahu apabila berlaku situasi seperti ini adalah berkaitan arah tuju NFDP selepas ini.

    “Pada masa sama, pemain NFDP di semua pusat latihan bukan sahaja di Gambang perlu kita fikirkan berkenaan nasib mereka selepas ini,” katanya kepada Kosmo.

    Kim Swee risau jika belum ada apa-apa keputusan yang dibuat mengenai nasib program NFDP, para pemain boleh kehilangan hala tuju dan perkara tersebut boleh menjejaskan prestasi mereka.

    “Apa yang penting kita perlu cepat buat keputusan ke­rana kita tidak mahu apabila keputusan belum diputuskan pemain ini akan hilang arah tuju mereka.

    “Dalam situasi ini, kita perlu fikirkan jalan penyelesaian terbaik secepat mungkin untuk kebaikan bola sepak bukan sahaja untuk NFDP tetapi buat negara,” tambah Kim Swee.

    Mesyuarat khas bagi membincangkan masa depan NFDP akan diadakan pada 15 Oktober depan membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan beberapa pihak lain.

    Ramai peminat bola sepak negara mahukan program NFDP ini diteruskan kerana program tersebut sudah terbukti mampu untuk melahirkan pemain di peringkat akar umbi yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

    Selain mahu program NFDP dikekalkan, peminat juga mahukan Lim Teong Kim dikekalkan sebagai pengendali program tersebut kerana kepakaran serta pengalaman yang dimiliki oleh beliau dilihat mampu untuk meningkatkan lagi kualiti sedia ada.

    Baca Juga: Abah Pertahan Gaji Yang Diterima Oleh Lim Teong Kim

    Leave a comment

    Your email address will not be published.