• Ketua jurulatih pasukan Perak, Mehmet Durakovic bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Malaysia Football League (MFL) yang membatalkan Peraturan 18 mengenai pengambilan pemain import.

    Menurut Mehmet, pembatalan ini akan membuka peluang kepada lebih ramai pemain import untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada masa akan datang.

    “Saya memang setuju 100 peratus. Jika sesebuah pasukan atau jurulatih berkenan dengan seseorang pemain, beliau boleh ambil pemain itu tidak kira dia dari liga bawahan. Terpulang kepada pasukan bagaimana mengadun pemain itu kemudian.

    “Sebenarnya ada ramai pemain import berkaliber dari liga bawahan tapi tidak boleh beraksi dalam Liga M. Berikutan peraturan 18 iaitu kelayakan negara pemain asing yang boleh didaftarkan dalam Liga Malaysia, pemilihan pemain asing dalam pasukan terhad,” katanya kepada Berita Harian.

    Sebelumnya, MFL mengambil keputusan untuk membatalkan Peraturan 18 kerana peraturan tersebut dipercayai membebankan pasukan kerana mereka perlu mengikut kriteria yang telah ditetapkan sebelum ini.

    Mengikut Peraturan 18,pasukan perlu mengambil pemain liga luar negara dari divisyen lebih tinggi.

    Antara syarat yang ditetapkan oleh MFL sebelum ini seperti dalam ketetapan manual pertandingan Liga Malaysia 2018 adalah setiap pasukan hanya boleh mengambil pemain yang bermain di liga Eropah (UEFA) dan Amerika Selatan (CONMEBOL) dalam liga kebangsaan divisyen ke-3 ke atas.

    Manakala mana-mana pemain yang beraksi di liga Afrika (CAF) dan Amerika Tengah (CONCACAF) mestilah bermain dalam liga kebangsaan divisyen ke-2 ke atas.

    Bagi pemain import ASEAN pula harus beraksi sekurang-kurangnya 30 perlawanan bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

    Tambah Durakovic, selepas ini persatuan bola sepak negeri boleh mengambil pemain import mengikut bajet mereka apabila peraturan sedia ada dibatalkan.

    “Persatuan yang mampu ambillah pemain yang mahal manakala yang tidak mampu cari yang lebih murah. Mungkin mereka boleh dapat pemain berwibawa dari liga bawahan dengan harga yang murah. Apa salahnya.

    “Cuma jurulatih dan pegawai pasukan kena buat kerja rumah bagi mendapatkan pemain berwibawa,” tambah Mehmet.

    Baca Juga: 11 Pasukan Berjaya Dapatkan Lesen

    Leave a comment

    Your email address will not be published.