• Harimau Malaya gagal untuk meneruskan rentak kemenangan apabila tewas kepada Kyrgyzstan dengan keputusan 1-0 pada perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Hang Jebat semalam. Di sini, kami tertarik untuk membincangkan tentang penyerang senior, Norshahrul Idlan Talaha yang mempamerkan satu peningkatan yang ketara.

    Norshahrul diletakkan di belakang Zaquan Adha bagi merencanakan segala gerakan serangan sekaligus membantu Zaquan untuk menembusi benteng pertahanan lawan. Matyo mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun percubaan beliau terkena palang gol dan diselamatkan oleh penjaga gol lawan.

    Jika kita bandingkan persembahan beliau ketika menentang Sri Lanka minggu lalu dengan persembahan ketika perlawanan semalam, jelas kita lihat ada peningkatan yang ketara dimana Matyo kini beraksi sepertimana zaman kegemilangan beliau pada tahun 2010 hingga 2012.

    Penyerang Pahang ini dilihat selesa ketika memegang bola dan gelecekan serta larian beliau kerap kali menghadirkan bahaya kepada barisan pertahanan lawan. Hanya saja nasib tidak menyebelahi Matyo dalam menjelmakan jaringan buat pasukan negara.

    Jika bekas penyerang Kelantan ini berjaya mengekalkan momentum serta prestasi semasa, tidak mustahil ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe akan menyenaraikan nama beliau dalam skuad akhir yang akan dibawa bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2018.

    Kami berpendapat jika Matyo disenaraikan dalam skuad Piala AFF Suzuki nanti, beliau akan dikekalkan dalam posisi sebagai pemain nombor 10 kerana di posisi sayap sudah ada tiga pemain iaitu Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh yang akan bersaing bagi merebut posisi sayap.

    Apa yang pasti, peningkatan yang dipamerkan oleh Matyo ini menjadi satu petanda yang baik buat pasukan kebangsaan dan juga Tan Cheng Hoe sendiri kerana beliau kini mempunyai banyak pilihan untuk mengisi bahagian serangan.

    Selain Matyo, ada Shahrel Fikri Fauzi yang dilihat bakal memberikan saingan sengit kepada Norshahrul bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

    Apa pendapat anda mengenai peningkatan yang dipamerkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada perlawanan menentang Kyrgyzstan semalam ? Wajarkah beliau disenaraikan dalam pasukan yang akan beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2018 ?

    Baca Juga: Malaysia Tewas Tipis Kepada Kyrgyzstan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.