• Peluang pasukan bawah 19 tahun negara untuk mara ke peringkat kalah mati temasya AFC Bawah 19 Tahun masih lagi terbuka setelah mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang Tajikistan semalam.

    Pada perlawanan semalam, pasukan bimbingan Bojan Hodak ini terlebih dahulu ditekan pasukan lawan apabila Saidov Karomatullo dan Mabatshoev Shervoni serta Ehsoni Panshanbe membuat percubaan ke arah gawang pasukan negara pada minit-minit awal permainan.

    Meskipun ditekan, pasukan negara berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi Hadi Fayyadh yang bijak untuk menyempurnakan hantaran jauh ketua pasukan, Nik Akif Syahiran.

    Namun, kelebihan yang dimiliki oleh Malaysia tidak bertahan lama selepas Al Imran Halim menjatuhkan Boboev Sheriddin mengundang padah selepas pengadil, Ahmed Faisal Mohamad Alali menghadiahkan penalti kepada Tajikistan yang disempurnakan Panshanbe untuk mengikat kedudukan pada minit ke-34.

    Menuju ke pengakhiran babak pertama, Tajikistan berada di hadapan apabila mereka melancarkan satu gerakan serangan balas dan Yodgorov Daler untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum rehat. Separuh masa pertama tamat dengan Tajikistan berada di hadapan.

    Memasuki separuh masa kedua, pasukan negara memperkemaskan lagi corak permainan mereka dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Nabil Hakim Bokhari. Sepakan Nabil terkena pemain lawan dan seterusnya menerjah gawang Tajikistan.

    Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bagi memburu gol kemenangan. Pada minit ke-83, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Nabil Hakim dilayangkan kad merah setelah melakukan satu terjahan keras ke atas pemain lawan, Fuzaylov Ziyovuddin sehingga menyebabkan kaki Fuzaylov patah.

    Anda boleh lihat insiden tersebut pada video di bawah.

    Sumber video: Vuld TV

    Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut berduka dengan kecederaan yang dialami oleh Fuzaylov dan berharap beliau segera sembuh.

    Selang empat minit kemudian, giliran Tajikistan pula beraksi dengan 10 pemain apabila Nurmatov Khuseyn dilayangkan kad merah susulan kekasaran ke atas Ramadhan Saifullah pada minit ke-87.

    Dengan keputusan seri yang diperoleh, harapan untuk mara ke peringkat kalah mati masih lagi ada buat pasukan bimbingan Bojan Hodak ini. Dengan syarat mereka perlu menewaskan China pada perlawanan peringkat kumpulan terakhir dan mengharapkan Tajikistan tewas kepada Arab Saudi.

    Baca Juga: Wajib Menang Bagi Hidupkan Peluang

    Leave a comment

    Your email address will not be published.