• Pada semalan, pasukan terbaik di Asia Tenggara, Thailand telah mengumumkan skuad yang akan dibawa bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2018. Dalam senarai tersebut, tiada nama-nama besar yang membarisi Thailand pada edisi lepas dan perkara ini dianggap sebagai peluang cerah buat pasukan lain untuk mengangkat trofi Piala AFF.

    Nama-nama seperti Chanatip Songkrasin (Consadole Sapporo), Teerasil Dangda (Sanfrecces Hiroshima), Theerathon Bunmathan (Vissel Kobe) dan Kawin Thamsatchanan (OH Leuven) tidak disenaraikan kerana terikat dengan tugasan bersama kelab masing-masing.

    Dua lagi pemain, Sarach Yooyen (Muangthong United) dan Charyl Chappuis (Muangthong United) tidak disenaraikan kerana masih lagi gagal untuk mencapai prestasi sebenar selepas pulih daripada kecederaan yang dialami.

    Dengan ketiadaan beberapa pemain bintang Thailand, peluang skuad Harimau Malaya untuk memenangi trofi Piala AFF Suzuki edisi kali ini cerah memandangkan Thailand menggantikan pemain yang tidak dibawa dengan pemain muda dan juga muka baru.

    Antara muka baru yang dibawa ialah penyerang berusia 19 tahun mereka, Supachai Jaided yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Teerasil Dangda. Seorang lagi pemain muda, Saranon Anuin yang berusia 20 tahun akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Kawin Thamsatchanan.

    Para pemain negara harus mengambil kesempatan ini dengan beraksi baik pada perlawanan peringkat kumpulan A seterusnya mara ke pusingan kalah mati.

    Jika ditakdirkan bertemu pasukan Gajah Putih ini di peringkat separuh akhir, para pemain negara harus tetap memberikan cabaran sengit biarpun pasukan lawan turun dengan pasukan kedua.

    Apa yang pasti, bukan saja Malaysia, pasukan lain seperti Indonesia, Vietnam dan Singapura perlu memanfaatkan ketiadaan pemain utama Thailand ini untuk cuba bersaing bagi merebut trofi Piala AFF Suzuki edisi kali ini.

    Piala AFF Suzuki 2018 akan bermula pada 8 November hingga 15 Disember.

    Baca Juga: Norshahrul Pamer Peningkatan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.