• Ketua jurulatih pasukan bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak berkata pasukan bimbingan beliau kekal tenang meskipun membawa status sebagai pasukan di ranking terendah dalam temasya AFC Bawah 19 Tahun di Indonesia yang akan bermula pada esok.

    Menurut Hodak, status underdog justeru bakal memberikan kelebihan kepada anak-anak buah beliau kerana mereka akan turun beraksi dengan tenang dan tanpa tekanan.

    “Arab Saudi di kedudukan 71 dunia, China 76, Tajikistan 120 dan Malaysia di tangga 171. Jadi secara realistik kami bukan pilihan dalam kumpulan.”

    “Apa pun kami tetap fokus untuk melakar kejutan, kami tiada tekanan dan akan cuba memberi tentangan sengit kepada lawan dalam setiap perlawanan.

    “Kami sudah mengharungi perlawanan (persahabatan) yang sukar dengan Qatar dan UAE yang mana pasukan ini seakan sama dengan Arab Saudi. Jadi, saya fikir kami sudah melakukan persediaan untuk perlawanan pertama kumpulan,” kata Hodak kepada Berita Harian.

    Bojan Hodak berjaya membimbing pasukan bawah 19 tahun negara muncul juara kejohanan AFF Bawah 19 Tahun di Indonesia dengan menewaskan pasukan Myanmar di perlawanan akhir Julai lalu dan perkara tersebut dijadikan sebagai pembakar semangat menuju saingan AFC kali ini.

    Isnin lalu, Hodak telah mengumumkan skuad utama yang akan dibawa di Indonesia dan seperti dijangka, nama-nama seperti Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran, Hadi Fayyadh dan Zafuan Azeman disenaraikan. Tidak ketinggalan ketua pasukan, Saiful Alias dan Shivan Pillay Ashokan.

    Malaysia akan membuka tirai saingan edisi kali ini dengan menentang pasukan Arab Saudi pada Sabtu ini sebelum berdepan Tajikistan pada 23 Oktober dan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang pasukan China pada 26 Oktober.

    Apa yang pasti, para pemain yang disenaraikan dalam skuad kali ini perlu menampilkan aksi terbaik mereka kerana jika pasukan negara berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir, slot ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun di Poland akan menjadi milik mereka.

    Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan bawah 19 tahun negara dalam temasya AFC Bawah 19 Tahun edisi kali ini ? Mampukah pasukan bimbingan Bojan Hodak mencipta kejutan ?

    Baca Juga: Khidmat Hadi Fayyadh Ditagih Skuad Bawah 19 Tahun Negara

    Leave a comment

    Your email address will not be published.