• Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa syarikat swasta untuk membantu dalam usaha memajukan program NFDP ke satu tahap yang lebih baik.

    Menurut Syed Saddiq, jika syarikat swasta boleh melabur untuk membeli kelab dan juga pemain dari luar negara, maka mereka sepatutnya tidak berdepan masalah untuk melabur bagi membantu memajukan program NFDP.

    “Jika mereka boleh melabur beratus juta ringgit untuk membeli kelab luar dan pemain luar negara, mengapa tidak mereka menyumbang bakti dalam program pembangunan bola sepak tanah air,” kata beliau kepada Berita Harian.

    Tambah Syed Saddiq, kini beliau sudah mengenal pasti beberapa penaja yang berpotensi untuk menjadi penaja dan menjalin kerjasama bersama NFDP. Namun, beliau tidak mendedahkan nama penaja tersebut.

    “Buat ketika ini saya tidak boleh maklumkan nama pihak terbabit. Tapi saya sudah mengenal pasti beberapa penaja yang berpotensi untuk menjalinkan kerjasama membawa program bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.

    “Saya amat berharap sokongan daripada pihak terbabit yang sebelum ini memang menunjukkan minat agar dapat membantu bola sepak tempatan mengorak langkah ke arah lebih baik.

    “Saya tahu mereka ini menjiwai bola sepak tanah air tapi mereka mahu dana yang disalurkan itu melalui proses yang betul supaya setiap sen disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

    Syed Saddiq menyatakan perbincangan ringkas dengan pihak berkenaan memberi maklum balas yang positif namun belum ada sebarang perjanjian yang dicapai dengan pihak terbabit.

    Apa yang diberikan tumpuan oleh Syed Saddiq selepas ini ialah ketelusan dalam setiap perbelanjaan yang dilakukan program tersebut supaya setiap sen dalam kantung program dimanfaatkan sebaik mungkin.q

    Akhir sekali, Syed Saddiq turut meminta peminat bola sepak tanah air untuk berhenti mencemuh Pengarah Teknikal NFDP, Lim Teong Kim di atas kegagalan skuad bawah 16 tahun layak ke temasya Piala Dunia Remaja di Peru tahun hadapan kerana Teong Kim sudah banyak berjasa kepada bola sepak negara dan juga dikenali di luar negara.

    Baca Juga: Syed Saddiq Cari Penaja Baru

    Leave a comment

    Your email address will not be published.