• Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nyata kecewa dengan keadaan semasa Akademi Mokhtar Dahari (AMD) setelah beliau membuat lawatan mengejut ke pusat latihan berkenaan pada semalam.

    Syed Saddiq mendapati banyak permasalahan dan kelemahan serius yang perlu ditangani dengan kadar segera. Kemudahan latihan dan peralatan yang serba kekurangan serta tidak sesuai sekaligus gagal menepati tujuan akademi itu dibangunkan iaitu melahirkan pemain akar umbi berkualiti.

    “Saya amat kecewa sebaik melihat sendiri permasalahan di AMD terutama berkaitan kemudahan dan peralatan. Lebih menyedihkan perkara asas iaitu aspek pemakanan tidak diberi penekanan hingga ada pemain yang terpaksa berlapar kerana makanan disediakan gagal menepati kualiti ditetapkan.

    “Masalah lain pula seperti bola untuk latihan tidak mencukupi hingga memberi kesan terhadap prestasi pemain termasuk padang latihan yang bertakung setiap kali hujan,” kata beliau menurut laporan Berita Harian.

    Akademi yang dibina dengan kos sebanyak RM85 juta itu bertindak sebagai pusat untuk pemain muda terbaik dari seluruh negara menimba ilmu dan kemahiran dalam bola sepak.

    Namun, keadaan semasa AMD jelas menjejaskan usaha untuk melahirkan pemain akar umbi berkualiti kerana para pelajar serta tenaga pengajar tidak dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

    Syed Saddiq menambah satu siasatan menyeluruh akan diadakan bagi menyiasat ketirisan yang berlaku ketika ini.

    “Dalam isu ini, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk melaporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

    “Masalah ini terlalu besar dan perlu diselesaikan segera kerana membabitkan peruntukan hingga RM85 juta. Bagi saya, kita jangan sesekali menyalahkan pemain jika gagal menunjukkan bakat sekiranya perkara asas tidak diberikan keutamaan,” tambah beliau.

    Syed Saddiq turut mengarahkan kontraktor yang terlibat agar bertanggungjawab membaiki segala kerosakan yang dilaporkan sebanyak 740 kerosakan dan tidak lari daripada tanggungjawab mereka.

    Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan para pemain dan juga jurulatih dapat menjalankan tugas mereka dengan sempurna sekaligus menepati sasaran yang telah ditetapkan.

    Baca Juga: Keadaan Pusat Latihan Akademi Mokhtar Dahari Membimbangkan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.