• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu para pemain untuk memperbaiki tabiat buruk iaitu melepaskan gol awal menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki 2018.

    Tan Cheng Hoe mahukan barisan pemainnya kekal fokus dan tidak melakukan kesilapan untuk dimanfaatkan pasukan lawan bagi menghasilkan jaringan.

    “Jika dibolosi awal, situasi itu akan memberi lebih keyakinan kepada pasukan lawan dan secara tidak langsung pula memberi tekanan kepada kita kerana ketinggalan.

    “Namun, dalam perlawanan menentang Sri Lanka, saya berpuas hati dengan pemain kerana mereka menunjukkan semangat tidak berputus asa dan selepas beberapa pertukaran, nampak strategi kita menjadi apabila dapat menjaringkan empat gol pada separuh masa kedua.

    “Apapun, kita harus mengelak daripada dibolosi gol awal. Jadi saya harap pemain dapat pengajaran daripada beberapa aksi persahabatan kita harungi untuk tampil lebih kemas pada temasya Piala AFF Suzuki 2018 nanti,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

    Pada perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka Jumaat lalu, pasukan lawan terlebih dahulu membuka tirai jaringan sebelum berjaya dikejar oleh barisan pemain negara.

    Mengulas lanjut mengenai keputusan beliau yang hanya menurunkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh pada babak kedua, Cheng Hoe menegaskan ia diputuskan selepas melihat tahap kecergasan pemain itu dan situasi perlawanan.

    “Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, dia hanya berlatih dua hari dan kurang cergas. Jadi saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan dia dalam kesebelasan utama.

    “Saya juga tidak menurunkan dia lebih awal kerana kita ketinggalan pada babak pertama dan belum mendapat rentak. Saya tidak mahu meletakkan tekanan pada penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan.

    “Tapi saya gembira dengan prestasinya kerana menjaringkan dua gol selain aksi pemain lain yang wajar dipuji. Saya percaya mereka boleh bermain lebih baik selepas ini,” katanya.

    Apa yang pasti, tabiat buruk yang dimaksudkan oleh Cheng Hoe harus segera diatasi agar peluang Malaysia untuk meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki tidak terjejas.

    Baca Juga: Harimau Malaya Teruskan Rentak Kemenangan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.