• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak tertekan dengan sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahukan Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

    Menurut Cheng Hoe, beliau sedar akan sasaran tersebut sebaik saja menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih bagi menggantikan Nelo Vingada. FAM sebelumnya tidak berganjak daripada sasaran mereka iaitu mahu skuad Harimau Malaya ke final Piala AFF sekali gus menjadi KPI buat Cheng Hoe.

    “Sebagai jurulatih kebangsaan, saya menganggap KPI tersebut sebagai cabaran serta motivasi buat diri sendiri. Saya fikir, mana-mana jurulatih, apabila menyertai kejohanan sudah pasti mereka mahukan sesuatu (kejayaan) dan begitu juga saya.

    “Saya tidak berasa sebarang tekanan dengan sasaran tersebut kerana ketika saya mengambil alih jawatan ini saya sudah pun tahu bahawa saya perlu menaikkan martabat bola sepak negara dan ini adalah sebahagian daripadanya,” katanya kepada Utusan.

    Mengulas mengenai skuad akhir yang akan dibawa bagi menghadapi saingan Piala AFF, Tan Cheng Hoe berkata beliau kini sudah memiliki sebanyak 51 nama dan akan menilai prestasi mereka berdasarkan perlawanan persahabatan yang telah dijalankan sebelum ini.

    “Seramai 56 pemain didaftarkan dan daripada situ saya akan membuat senarai akhir. Minggu depan saya akan keluarkan,” katanya.

    Pasukan negara akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang pasukan Maldives pada 3 November sebelum membuka tirai saingan Piala AFF Suzuki 2018 dengan menentang pasukan Kemboja pada 8 November nanti.

    Cheng Hoe boleh menguji pemain yang telah beliau senaraikan dalam skuad akhir pada perlawanan menentang Maldives untuk memastikan semua pemain berada dalam keadaan terbaik.

    Apa yang pasti, Petunjuk Prestasi Utama KPI yang telah diletakkan oleh FAM kepada Cheng Hoe boleh dicapai sekiranya beliau mendapat sokongan daripada semua pihak dan para pemain menampilkan permainan terbaik mereka.

    Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki ialah pada edisi 2010 dimana skuad Harimau Malaya menewaskan pasukan Indonesia di perlawanan akhir.

    Baca Juga: Peluang Nor Azam Azih Jadi Watak Utama

    Leave a comment

    Your email address will not be published.