• Pasukan bawah 19 tahun negara dalam misi wajib menang bagi menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat kalah mati apabila turun menentang pasukan Tajikistan D di Stadium Patriot Candrabaga, Bekasi, hari ini.

    Ketua jurulatih pasukan, Bojan Hodak bagaimanapun menegaskan tiada yang mustahil buat anak buahnya mencipta kejutan menundukkan pasukan itu.

    Hodak juga percaya pemain muda negara sudah melupakan kekecewaan gagal meraih sebarang mata ketika berdepan Arab Saudi.

    “Tajikistan mempamerkan permainan cukup mantap ketika mengatasi China. Mereka pasukan yang amat kuat dan ia pasti menyukarkan kami.

    “Walaupun fizikal pemain mereka tidak terlalu besar tapi mereka beraksi dengan penuh disiplin. Kami akan cuba memberikan aksi lebih baik berbanding ketika menentang Arab Saudi.

    “Moral pemain juga baik dan mereka cuma perlu memperbaiki beberapa kesilapan yang dilakukan ketika aksi pertama peringkat kumpulan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Malaysia kini berada di kedudukan ketiga kumpulan D di hadapan pasuka China yang menghuni tangga tercorot selepas kalah 0-1 kepada Tajikistan pada perlawanan pertama.

    Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim ini turut mengesahkan ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan namun perkara itu tidak terlalu serius.

    “Semalam kami lakukan sesi pemulihan dan ada empat atau lima pemain mengalami kecederaan, tapi ia tidak serius.

    “Saya fikir mereka tiada masalah untuk diturunkan esok. Apa pun saya akan menilai keadaan semua pemain selepas sesi latihan terakhir,” katanya.

    Apa yang pasti, dalam perlawanan wajib menang ini, para pemain perlu menampilkan persembahan terbaik mereka bagi memastikan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir kembali terbuka.

    Jika tewas, maka impian untuk mara ke peringkat separuh akhir dan beraksi dalam temasya Piala Dunia Bawah 20 Tahun tidak kesampaian.

    Baca Juga: Hodak Gesa Para Pemain Perbaiki Kesilapan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.