• Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedia untuk membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam merealisasikan Program F:30 yang dilancarkan semalam.

    Menurut Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, F:30 merupakan kerangka asas yang mampu membina ekosistem untuk menggalakkan pertumbuhan sukan itu di negara ini.

    Tambah Shaikh Salman, FAM perlu diberi masa yang secukupnya untuk melaksanakan semua perancangan yang sudah disusun dengan badan induk itu tidak mempunyai masalah untuk membantu dalam segala aspek yang diperlukan bagi menjayakan misi terbabit.

    “Malaysia sebuah negara yang penting di benua ini dan pernah menjadi antara gergasi bola sepak di Asia. Jadi, AFC gembira menjadi sebahagian daripada pelancaran program jangka masa panjang ini.

    “Justeru, AFC bersedia untuk membantu FAM dalam apa jua segi kerana perancangan ini secara tidak langsung turut menguatkan lagi konfederasi bola sepak di benua ini.

    “AFC memberi jaminan bahawa kami akan sentiasa berada bersama FAM dalam perjalanan penting ini bagi membantu meningkatkan lagi bola sepak di negara ini.

    “Bagi pihak AFC, kami mendoakan agar Malaysia mendapat hasil daripada pelaburan ini,” katanya menurut Berita Harian.

    F:30 ialah Peta Hala Tuju FAM dalam tempoh 12 tahun dan antara inti patinya ialah menetapkan Harimau Malaya menjadi antara lima negara terbaik di rantau Asia menjelang tahun 2030.

    Peta hala tuju dengan tempoh 12 tahun itu dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama dari tahun 2019 hingga 2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur, disusuli fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia, disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.

    F:30 dirasmikan secara bersama oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada semalam.

    Baca Juga: FAM Lancarkan Peta Hala Tuju Baru

    Leave a comment

    Your email address will not be published.