• Pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak mahukan barisan pertananan skuad Harimau Malaya untuk lebih kukuh memandangkan pasukan Thailand merupakan pasukan terbaik dalam saingan Piala AFF Suzuki edisi kali ini.

    Pemain pertahanan Johor Darul Tazim ini juga mengharapkan rakan-rakan sepasukan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ketika edisi 2012 lalu. Kali terakhir Malaysia menentang pasukan Thailand di pentas separuh akhir ialah pada edisi 2012 lalu dimana pasukan negara tewas dengan keputusan 3-1 secara agregat.

    “Pada pusingan seterusnya akan mengambil kira gol di tempat lawan. Pada edisi 2012, kita seri 1-1 dengan Thailand di ­gelanggang sendiri dan kemudian (tewas) bermain di tempat lawan dengan sokongan penyokong mereka.

    “Saya rasa dari situ kita boleh ambil pengajaran untuk mencari kemenangan dan memastikan tidak dibolosi di laman sendiri Sabtu ini,” katanya menurut laporan Kosmo.

    Aidil beraksi dengan cemerlang setakat ini apabila beliau membentuk satu gandingan yang mantap bersama Shahrul Saad. Gandingan kedua-dua pemain berjaya menafikan gerakan serangan yang diatur oleh pemain lawan.

    Bagi pemain tengah negara, Syamer Kutty Abba, tiada istilah badi buat pasukan negara apabila bertemu dengan Thailand. Menurut Syamer, Malaysia perlu memanfaatkan beraksi di laman sendiri dengan mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Rajamangala pada 5 Disember nanti.

    “Dalam kepala saya tiada isu badi kerana kita telah bekerja keras dari mula saingan Piala AFF lagi. Kita ada kekuatan sendiri dan perlu mengorak langkah untuk mara lebih jauh,” katanya.

    Apa yang pasti, bukan sahaja benteng pertahanan negara yang perlu lebih kukuh, barisan serangan juga perlu menampilkan persembahan terbaik mereka bagi merobek gawang skuad Gajah Putih pada perlawanan Sabtu ini.

    Kepantasan Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh serta ketajaman Norshahrul sudah pasti ditagih oleh Tan Cheng Hoe bagi memberikan kelebihan awal buat Malaysia.

    Separuh akhir kedua akan berlangsung di gelanggang keramat pasukan Thailand iaitu Stadium Rajamangala pada 5 Disember mendatang.

    Baca Juga: Safee Sali Mahu Matyo Lebur Rekod Piala AFF Suzuki

    Leave a comment

    Your email address will not be published.