• Penjaga gol pasukan negara, Khairul Fahmi Che Mat mahukan rakan sepasukan untuk tidak berasa terlalu yakin dan menampilkan aksi terbaik mereka pada perlawanan kedua peringkat kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2018 menentang Laos malam ini di Bukit Jalil.

    Menurut Khairul Fahmi, meskipun pasukan Malaysia dilabel sebagai pilihan pada perlawanan malam ini, namun perkara itu tidak boleh dijadikan jaminan kerana Laos memiliki kekuatan tersendiri dan mampu untuk mencipta kejutan.

    “Kita turun untuk tiga mata pada perlawanan esok. Kita akan beraksi di stadium sendiri, jadi kami akan beraksi dengan yakin, tetapi jangan terlampau yakin. “Laos mungkin boleh membuat kejutan. Jadi kita kena fokus sepenuhnya,” katanya kepada Berita Harian.

    Motivasi pemain negara ketika ini berada pada tahap terbaik setelah berjaya menundukkan pasukan Kemboja pada perlawanan pertama dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal penyerang senior, Norshahrul Idlan Talaha.

    Khairul Fahmi sendiri beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut dimana beliau berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya yang dilancarkan oleh pemain lawan. Penolong ketua pasukan kepada Zaquan Adha ini dijangka akan mengekalkan tempat beliau dalam kesebelasan utama.

    Jika berjaya mencatat kemenangan ke atas Laos malam ini, maka peluang Harimau Malaya untuk mara ke peringkat seterusnya cerah sekaligus mendapat motivasi tambahan sebelum menentang dua pasukan yang menjadi ancaman utama kepada Malaysia iaitu pasukan Vietnam dan juga Myanmar.

    Tambah Khairul Fahmi, beliau percaya rakan sepasukan sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik sekaligus memberikan kemenangan kedua buat Malaysia.

    “Untuk pastikan kita lebih bersedia menentang Vietnam dan Myanmar, kita mesti lepas (menang) dengan Laos.

    “Saya percaya rakan-rakan sudah bersedia untuk memberikan 100 peratus dalam perlawanan malam esok,” tambah beliau.

    Setelah turun menentang Laos, Malaysia kemudiannya akan bertandang ke Hanoi bagi menentang pasukan Vietnam pada Sabtu. Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe akan mengakhiri perlawanan di peringkat kumpulan dengan menentang pasukan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November.

    Baca Juga: Ramalan Kesebeasan Utama Malaysia Menentang Laos

    Leave a comment

    Your email address will not be published.