• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak mahu tragedi Piala AFF Suzuki edisi 2016 berulang dimana pasukan negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika itu tersingkir di peringkat kumpulan setelah tewas kepada pasukan Myanmar.

    Perlawanan menentang lawan sama pada Sabtu ini menjadi medan terbaik untuk Harimau Malaya membalas dendam di atas kekalahan pada edisi 2016 lalu dan Cheng Hoe mengakui anak buahnya perlu beraksi lebih baik selepas tewas kepada Vietnam Jumaat lalu.

    “Kami kena kekalkan corak permainan dan mungkin kena ubah sikit. Kami perlu elak dibolosi gol dan pada masa sama pemain mengubah mentaliti daripada bermain secara bertahan kepada menyerang.

    “Memang 2016 edisi berlainan dengan suasana pemain juga sudah berbeza. Kali ini kami perlu gunakan kesempatan bermain di laman sendiri,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Malaysia kini berkongsi enam mata dengan pasukan Myanmar dan Vietnam setelah berjaya mencatat kemenangan pada dua perlawanan pertama kumpulan A.

    Bagi mencerahkan peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir, perlawanan diantara Myanmar menentang Vietnam perlu berakhir dengan keputusan memihak kepada Myanmar ataupun perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri.

    Tambah Cheng Hoe, para pemain negara perlu bijak dalam mengawal tekanan daripada pasukan lawan dan juga daripada peminat kerana puluhan ribu peminat dijangka bakal memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

    “Selepas tiga perlawanan, saya amat berpuas hati dengan permainan kami dan sebagai jurulatih saya tidak boleh jelaskan dengan lebih mendalam mengenai taktikal.

    “Pemain cukup bermotivasi bila bermain di Bukit Jalil, ia akan menjadi pemangkin semangat buat mereka. Tapi saya tidak mahu pemain berasa tertekan dengan kehadiran penyokong yang ramai,” katanya.

    Baca Juga: Tan Cheng Hoe Tak Peduli Kritikan Bakri Ibni

    Leave a comment

    Your email address will not be published.