• Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memohon maaf kepada penyokong Myanmar yang menjadi mangsa kekerasan oleh segelintir penyokong Malaysia selepas perlawanan Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

    Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak mengenai insiden itu seperti yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

    “Sebagai badan induk bola sepak yang menaungi semua kegiatan sukan ini, saya bagi pihak FAM memohon maaf secara rasmi kepada penyokong terbabit.

    “FAM sudah mengambil langkah keselamatan di persekitaran stadium tapi tidak mampu mengawal kejadian tidak diingini yang di luar kawalan kami. Kami menggesa semua penyokong mengamalkan prinsip kesukanan tinggi, sebelum, ketika dan selepas menonton perlawanan,” kata Stuart menurut laporan Berita Harian.

    Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan seramai 20 penyokong Myanmar termasuk wanita diserang oleh kira-kira 30 penyokong Malaysia ketika mereka dalam perjalanan pulang setelah hadir ke stadium. Penyerang dikatakan melontarkan kata-kata kesat sebelum bertindak menyerang mereka.

    Penyokong yang diserang ini kemudiannya dibantu oleh badan kebajikan tempatan dan ada beberapa daripada penyokong Myanmar terpaksa menjalani rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan di kepala, kaki dan juga tangan.

    Bagaimanapun, penyokong yang mendakwa menjadi mangsa itu enggan memenuhi jemputan FAM. Mereka sebaliknya menyerahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Myanmar, Lovely Heart Organisation menerusi wakilnya Ko Thet untuk bertemu Stuart hari ini bagi menjelaskan mengenai insiden berkenaan.

    Apa yang pasti, diharapkan insiden seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Kejadian seperti ini bukan saja mencemarkan nama baik bola sepak Malaysia malah juga berbahaya kepada penyokong pasukan negara yang mahu bertandang ke pasukan lawan kelak.

    Setelah berjaya menewaskan Myanmar dengan keputusan 3-0, skuad Harimau Malaya mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir dan bakal bertemu dengan juara bertahan iaitu pasukan Thailand.

    Baca Juga: Ultras Malaya Nafi Terlibat Dalam Pemukulan Penyokong Myanmar

    Leave a comment

    Your email address will not be published.