• Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini telah melancarkan satu projek yang diberi nama Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) bertujuan memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal dan pembangunan pertandingan kepada anggota gabungannya.

    Menurut kenyataan FAM di laman web rasmi mereka, ACE merupakan ilham daripada presiden badan induk bola sepak negara itu, Dato’ Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin, adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 atau F:30 yang dilancarkan baru-baru ini.

    “Menerusi projek ACE yang dibahagi kepada tiga teras – Pengurusan dan Pentadbiran, Pembangunan Bola Sepak dan Pembangunan Pertandingan, ahli gabungan FAM boleh membuat permohonan untuk menerima geran dan bantuan kepakaran urus tadbir serta teknikal daripada badan induk berkenaan bermula 2019,” kata FAM.

    Menurut Dato’ Haji Hamidin pula, tiga teras di atas menjadi fokus utama kerana pihaknya percaya jika ahli gabungan kukuh, maka FAM sebagai badan induk juga akan menjadi kukuh.

    “Tiga teras ini menjadi fokus kepada FAM kerana jika ahli gabungan kukuh, maka utuhlah FAM. Memperkasakan ahli gabungan sekali gus memperkasakan FAM, manakala sokongan teknikal bertujuan melahirkan jurulatih dan pemain berwibawa dan hanya menerusi pertandingan, peluang untuk pemain dan jurulatih mengasah kepakaran masing-masing terbuka luas.

    “Projek ini ditawarkan kepada semua ahli gabungan FAM yang dikehendaki memenuhi beberapa syarat, termasuk penyediaan pelan strategik, bajet dan kertas kerja mengikut projek,” kata Dato’ Haji Hamidin.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama presiden semua ahli gabungan di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Turut hadir Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (Presiden FAS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri (Presiden PBNS) serta presiden dan wakil dari 20 ahli gabungan FAM.

    Dato’ Haji Hamidin berkata, projek ACE mencerminkan kesungguhan FAM mencontohi amalan urus tadbir terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

    Apa yang pasti, ahli gabungan yang sebelumnya tidak memiliki kepakaran dalam menguruskan sesuatu perkara mampu untuk meningkatkan kemahiran mereka seterusnya menjadi ahli gabungan yang stabil.

    Terutamanya persatuan bola sepak negeri yang sebelum ini bermasalah seperti contoh dari segi kewangan dan juga kebajikan pemain.

    Baca Juga: FAM Lancarkan Peta Hala Tuju Baru

    Leave a comment

    Your email address will not be published.