• Dua hari lagi untuk pasukan negara turun berentap dengan pasukan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018. Untuk perlawanan ini, penulis berpendapat Farizal Marlias wajar untuk dikekalkan dalam kesebelasan utama.

    Farizal diturunkan buat kali pertama dalam saingan Piala AFF edisi kali ini pada perlawanan menentang Myanmar minggu lalu. Dan penjaga gol berusia 32 tahun ini nyata tidak mengecewakan apabila tampil dengan cemerlang sepanjang permainan.

    Farizal diuji pada 10 minit pertama apabila barisan serangan Myanmar melancarkan satu serangan balas. Aung Thu kemudiannya menyambar bola hasil daripada hantaran dari sebelah sayap namun Farizal tenang menafikan percubaan tersebut.

    Pada separuh masa kedua Farizal Marlias juga diuji namun sekali lagi beliau tenang dalam menafikan segala percubaan pemain lawan sekaligus mengelakkan pintu gol negara daripada dibolosi pada perlawanan tersebut.

    Kali terakhir Malaysia bertemu pasukan Thailand di peringkat separuh akhir saingan Piala AFF ialah pada tahun 2012. Farizal beraksi dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir tersebut dimana beliau dibolosi sebanyak tiga kali dan Malaysia terkandas di peringkat separuh akhir.

    Pada edisi 2014, kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu. Kali ini di pentas perlawanan akhir dan Farizal sekali lagi menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama dalam dua perlawanan tersebut. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahi Farizal dimana pasukan negara tewas 4-3 secara agregat.

    Pengalaman yang dimiliki oleh Farizal ketika berdepan pasukan Thailand di pentas besar sedikit-sebanyak mampu untuk membantu pasukan negara bagi menewaskan juara lima kali Piala AFF ini sekaligus mara ke perlawanan akhir.

    Ditambah dengan prestasi semasa Farizal yang berada di keadaan baik, tidak mustahil benteng pasukan negara mampu untuk mengekang barisan serangan Thailand yang sememangnya berbahaya berdasarkan empat perlawanan yang dilalui sebelum ini.

    Dua pemain skuad Gajah Putih yang perlu diberikan perhatian lebih sudah pasti Adisak Kraison dan Supachai Jaideed. Dua pemain ini beraksi dengan cemerlang di barisan serangan pasukan Thailand dan Adisak ketika ini menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan 7 gol.

    Baca Juga: Ubah Persepsi Terhadap Pasukan Thailand

    Leave a comment

    Your email address will not be published.