• Naib juara Liga Perdana 2018, Felcra FC sah menarik diri daripada saingan Liga Super musim hadapan. Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL) Kevin Ramalingam.

    Menurut laporan Harian Metro, ketika dihubungi Kevin menjelaskan bahawa Felcra telah menghantar surat rasmi mengenai penarikan diri pasukan kepada badan itu selepas berakhirnya tempoh pengesahan pasukan, semalam.

    “Kami sudah menerima surat penarikan rasmi daripada mereka jadi situasi ini menyebabkan ada satu kekosongan dalam slot Liga Super bagi musim depan.

    “Dengan satu lagi pasukan dari Liga Perdana perlu dinaikkan ke Liga Super, ini bermakna turut ada kekosongan dalam Liga Perdana yang perlu diisi oleh beberapa pasukan tertakluk kepada kelayakan mereka.

    “Bagi menentukan pasukan mana yang akan mengisi slot itu, kami perlu mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pengarah MFL terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” kata Kevin.

    Dalam perkembangan lain, FELCRA FC akan mengadakan sidang media di Setapak malam ini yang dijangka menyentuh mengenai penarikan diri pasukan itu secara lebih terperinci.

    Sebelum ini, badan yang mengurskan pasukan Felcra iaitu Felcra Berhad menyatakan bahawa mereka akan membubarkan pasukan tersebut kerana salah faham antara pengurusan tertinggi dan pengurusan pasukan mengenai sumber kewangan.

    Meskipun ada sinar harapan dimana Felcra dikhabarkan tidak akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia dan cuba untuk mencari jalan keluar, namun perkara tersebut tidak menjadi kenyataan.

    Kini, masih belum jelas tentang pasukan mana yang akan menggantikan tempat Felcra dalam saingan Liga Super musim hadapan.

    Kini, nasib pemain dan juga pegawai pasukan menjadi tanda tanya dan mereka adalah pihak yang paling terkesan dengan penarikan diri Felcra FC ini.

    Bermain bermat-matian untuk memastikan pasukan layak ke Liga Super namun pada akhirnya hajat beraksi menentang pemain dan pasukan terbaik tidak kesampaian.

    Baca Juga: Felcra FC Sah Dibubarkan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.