• Skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di peringkat kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2018 di tangga kedua dibelakang pasukan Vietnam. Sepanjang empat perlawanan setakat ini, gandingan dua pemain iaitu Aidil Zafuan dan Shahrul Saad merupakan watak utama dalam kecemerlangan pasukan negara.

    Aidil dan Shahrul digandingkan sejak perlawanan pertama ketika Malaysia menewaskan pasukan Kemboja di Phnom Penh. Kedua-dua pemain ini berjaya menampilkan aksi yang bertenaga dimana mereka berjaya mengekang segala asakan yang dilancarkan oleh pemain Kemboja.

    Sama juga halnya ketika Malaysia menewaskan pasukan Laos di laman sendiri pada perlawanan kedua. Meskipun dibolosi pada awal permainan, namun gandingan Aidil Zafuan dan Shahrul Saad bangkit dan kemudiannya mematah segala percubaan pemain Laos.

    Ujian sebenar barisan pertahanan negara ialah ketika berhadapan dengan pasukan Vietnam. Benteng pertahanan negara memperagakan aksi yang baik pada mulanya namun barisan serangan Vietnam nyata terlalu bagus untuk ditandingi oleh Aidil dan Shahrul sekaligus membuatkan Malaysia tewas dengan keputusan 2-0.

    Malaysia perlu menewaskan pasukan Myanmar pada perlawanan terakhir bagi mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir. Sekali lagi gandingan Aidil dan Shahrul diberi tanggungjawab untuk mengekang Aung Thu dan rakan-rakan daripada mendapatkan jaringan. Keputusan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk mengekalkan dua pemain ini dalam kesebelasan utama merupakan keputusan terbaik beliau.

    Aidil dan Shahrul menampilkan satu persembahan yang cemerlang dimana mereka berjaya mengawal barisan serangan Myanmar dengan baik dan menunjukkan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan. Setelah tiga perlawanan yang dilalui sebelumnya, gandingan antara pemain Johor Darul Ta’zim dan Perak ini semakin serasi dan membentuk satu persefahaman yang sangat baik.

    Di peringkat separuh akhir, Harimau Malaya akan berdepan juara bertahan iaitu pasukan Thailand. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemud di peringkat separuh akhir saingan Piala AFF ialah pada edisi 2012 dimana Malaysia tewas dengan keputusan 3-1 secara agregat.

    Meskipun Thailand menurunkan pasukan kedua mereka, namun juara 5 kali Piala AFF ini tetap berbahaya dan kecemerlangan Aidil Zafuan dan Shahrul Saad bakal ditagih sekali lagi untuk memastikan Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir.

    Baca Juga: Harimau Malaya Atasi Myanmar Dengan Bergaya

    Leave a comment

    Your email address will not be published.