• Penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan terbang ke Jepun buat kali ketiga bagi menjalani ujian bersama kelab Fagiano Okayama. Sebelum ini, Hadi pernah menjalani tempoh ujian bersama satu kelab Jepun, Ruasso Kumamoto sebelum temasya Sukan Asia 2018 bermula.

    Menurut Hadi, meskipun beliau menerima tawaran dari tiga pasukan daripada Liga Super yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, namun beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk beraksi di luar negara.

    “Ada tiga pasukan tempatan yang tanya tetapi saya mungkin meletakkannya dalam pelan B sekiranya tak berjaya mendapatkan pasukan di Jepun.

    “Saya akan berangkat sekali lagi ke Jepun pada 26 November ini untuk menjalani latihan dan ujian bersama kelab Fagiano Okayama buat kali kedua.

    “Saya harap pemergian pada penghujung bulan ini berjaya. Walaupun sudah dua kali mencuba semangat saya tetap kuat dan akan berikan yang terbaik sepanjang berada di sana,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

    Sebelum ini, Hadi sudah dua kali berkunjung ke negara matahari terbit itu dimana beliau pada mulanya menjalani ujian bersam Ruasso Kumamoto selama seminggu pada Ogos lalu dan kemudiannya beliau menjalani ujian bersama kelab Fagiano Okayama pada September lalu.

    Pemergian Hadi menimba pengalaman dengan dua kelab di sana sebelum ini diuruskan oleh syarikat pengeluar minuman Yakult (M) Sdn Bhd yang percaya bekas pemain Johor Darul Ta’zim ini memiliki keupayaan untuk bersaing di liga terbaik Asia itu.

    Kini, selepas dilepaskan oleh JDT pada penghujung musim 2018, Hadi menjalani latihan sendiri bagi mengekalkan tahap kecergasan beliau sebelum berangkat ke Jepun.

    Diharapkan tuah memihak kepada Hadi dalam percubaa ketiga beliau dalam usaha untuk beraksi di negara yang merupakan kuasa bola sepak di rantau Asia ketika ini.

    Jika Hadi berjaya memperoleh kontrak profesional bersama Fagiano, maka perkara tersebut merupakan pencapaian yang tersendiri dan boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia sekaligus dapat membantu meningkatkan kualiti pasukan negara pada masa akan datang.

    Baca Juga: Hadi Fayyadh Pukau Media Jepun

    Leave a comment

    Your email address will not be published.