• Skuad Harimau Malaya berjaya meneruskan rentak cemerlang apabila memperoleh kemenangan kedua dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 dengan menewaskan pasukan Laos 3-1 sebentar tadi.

    Akan tetapi, Malaysia pada mulanya dikejutkan dengan jaringan pembukaan pasukan lawan apabila Phithack Kongmathilath menjaringkan gol melalui satu sepakan cantik pada minit ke-7.

    Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, pemain negara menggandakan asakan dan berjaya memperolehi gol penyamaan apabila ketua pasukan, Zaquan Adha bijak untuk menolak masuk hantaran Syahmi Safari pada minit ke-15.
    Separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

    Memasuki separuh masa kedua, Tan Cheng Hoe memasukkan Akhyar Rashid bagi menambah bisa di bahagian serangan. Namun, tindakan penjaga gol Laos yang seringkali melambat-lambatkan permainan nyata menyukarkan pasukan negara untuk memperoleh gol kedua.

    Cheng Hoe kemudiannya memasukkan Shahrel Fikri Fauzi dan Hazwan Bakri bagi mencari jaringan dan nyata percaturan beliau berjaya.

    Norshahrul menjaringkan gol kedua peribadi setakat ini apabila beliau bijak menyempurnakan peluang setelah keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Laos.

    Matyo kemudiannya menjaringkan gol ketiga pasukan negara apabila beliau tenang menolak masuk hantaran pemain gantikan, Akhyar Rashid sekaligus membolehkan Malaysia memperoleh kemenangan kedua dalam kumpulan A.

    Kemenangan ke atas Laos ini memberikan motivasi tambahan kepada para pemain menjelang perlawanan menentang pasukan Vietnam dan juga Myanmar. Dua pasukan yang sememangnya bakal memberikan cabaran yang tersendiri kepada pasukan negara.

    Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan negara ke atas pasukan Laos sebentar tadi? Mampukah anak-anak buah Tan Cheng Hoe mengekalkan momentum cemerlang apabila berdepan Vietnam dan Myanmar pada perlawanan seterusnya?

    Baca Juga: Pemain Perlu Lebih Tenang – Tan Cheng Hoe

    Leave a comment

    Your email address will not be published.