• Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim meluahkan kekecewaan mereka apabila pihaknya dituduh cuba mendapatkan pemain sayap lincah, Akhyar Rashid tanpa berbincang dengan pengurusan pasukan Kedah.

    Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards menerusi satu post di media sosial rasmi pasukan, Johor Southern Tigers. Menurut Edwards, JDT mungkin berminat sekiranya Akhyar mahu berhijrah dengan menyertai pasukan lain pada musim hadapan.

    Akan tetapi, JDT melupakan hasrat mereka untuk membawa masuk Akhyar kerana pemain berusia 19 tahun ini masih mempunyai kontrak bersama pasukan Kedah.

    “Kami tidak boleh menerima jika kami dituduh sedemikian hanya kerana pemain tersebut mahu menamatkan kontrak beliau.

    Sekiranya Akhyar ejen bebas tanpa kontrak, beliau bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang mempunyai hasrat untuk mendapatkannya, termasuk Johor Darul Ta’zim,” kata Edwards.

    Sebelum ini, Akhyar dilaporkan mahu menamatkan kontrak beliau bersama Kedah setelah ada tawaran daripada beberapa pasukan Liga Malaysia untuk mendapatkan khidmat beliau. Dan salah satu pasukan yang dikaitkan dalam transfer saga Akhyar ini ialah Johor Darul Ta’zim.

    JDT dikaitkan sebagai destinasi terbaru Akhyar Rashid musim hadapan memandangkan pemain ini pernah melawat pusat latihan dan juga stadium JDT sebelum ini.

    Akhyar kemudiannya membawa kes beliau ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beberapa hari lalu selepas beliau dan Kedah gagal mencapai persetujuan dan FAM dijangka membuat keputusan tidak lama lagi.

    FAM kemudiannya mengeluarkan kenyataan dimana mereka memberikan tempoh 10 hari untuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KAF) bagi menyelesaikan masalah mereka dengan Akhyar.

    Apa yang pasti, jangan sampai perkara ini mengganggu fokus dan konsentrasi Akhyar yang ketika ini berjuang bersama pasukan kebangsana dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018.

    Perkara mengenai perpindahan ini sebaiknya dibincangkan setelah kempen Piala AFF tamat bagi memastikan Akhyar dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam membantu pasukan negara mara ke perlawanan akhir edisi kali ini.

    Pada perlawanan peringkat separuh akhir, Harimau Malaya akan menentang pasukan Thailand.

    Baca Juga: Jangan Ganggu Fokus Pemain

    Leave a comment

    Your email address will not be published.