• Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik Jorg Peter Steinebrunner sebagai Pengarah Teknikal yang baru persatuan tersebut.

    Pelantikan ini disahkan oleh Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan dimana menurut beliau pelantikan Jorg Peter Steinebrunner dari Jerman bertujuan bagi memberi tumpuan khusus terhadap sistem pembangunan bola sepak di negeri itu.

    “Hasil perbincangan bersama, Steinebrunner bersetuju menandatangani kontrak selama 10 bulan bermula 1 Januari hingga 30 Oktober 2019.

    “Kami juga melantik beliau untuk membantu memilih pemain yang benar-benar berpotensi diserap ke skuad Piala Belia dan Piala Presiden sebelum dicadangkan mewakili skuad senior,” katanya menurut laporan Kosmo.

    Tambah Bibi lagi, beliau meminta Steinebrunner untuk membantu ketua jurulatih pasukan, Yusri Che Lah bagi menilai kelemahan dan juga kekuatan pemain dalam setiap perlawanan.

    “Urusan pemilihan pemain diserahkan sepenuhnya kepada Yusri dan kita harap Steinebrunner dapat menggunakan pengalamannya untuk mendapatkan pemain berkualiti baik pemain import mahupun tempatan.

    “Setakat ini, belum ada apa-apa keputusan mengenai pemain import selepas hanya Cassio Francisco De Jesus dikekalkan dan KAFA tidak melanjutkan kontrak Cristiano Marcolino Santos dari Brazil dan Bakhtiyar Duishobekov dari Kyrgyztan yang beraksi bersama The Red Warriors musim ini,” tambah Bibi.

    Untuk rekod, menurut laporan Bernama, Steinebrunner pernah membimbing skuad Geylang International FC, PSM Makassar, Sengkang Marine FC serta Woodlands Wellington FC, dan mempunyai rekod kemenangan sekitar 43 peratus, seri 20 peratus dan kalah 35 peratus sepanjang bergelar jurulatih.

    Apa yang pasti, Steinebrunner dan Yusri berdepan cabaran besar bagi mengembalikan semula pasukan Kelantan ke zaman kegemilangan seperti sebelumnya.

    Juara Piala Malaysia edisi 2012 ini akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

    Baca Juga: Nidzam Adzha Yusoff Sertai Melaka United

    Leave a comment

    Your email address will not be published.