• Kedegilan Terengganu City FC dalam membayar tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan nyata mengundang rasa kecewa bekas ketua jurulatih pasukan, Mohd Noor Md Derus dan Roshadi Wahab.

    Mohd Noor dan Roshadi bertambah pening apabila surat dan juga e-mail yang dihantar kepada pihak pengurusan pasukan tidak mendapat sebarang jawapan bahkan mereka turut menabur janji palsu.

    “Selepas membawa pasukan muncul juara Piala FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) musim ini, inikah balasan pengurusan yang ternyata tidak ‘berhati perut’ membiarkan kami menderita.

    “Tiada satu sen pun tunggakan gaji, bonus dan bayaran sewa rumah bermula bulan Julai lalu hingga ke hari ini kami peroleh daripada pengurusan TCFC.

    “Lebih mengecewakan, mungkin kami diberi cek ‘tendang’ kerana hingga kini cek itu belum dapat ditunaikan.

    “Jika mereka nak sertai Liga Perdana ke.. itu mereka punya pasal, kami hanya tuntut hak kerana kontrak kami berakhir Disember ini.

    “Kami sudah hilang sabar, jangan buat kami sebegini, harap TCFC bantu kami selain minta campur tangan FAM dan kerajaan negeri Terengganu membantu insan teraniaya ini,” kata Mohd Noor kepada Berita Harian.

    Menurut Mohd Noor, beliau bersama lima lagi staf kejurulatihan musim ini termasuk bekas pemain kebangsaan, Anuar Jusoh sudah menghantar surat secara rasmi kepada FAM pada Rabu lalu, berhubung tuntutan keseluruhan berjumlah RM289,500.

    Roshadi pula hairan dengan kedegilan Terengganu City FC dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai dimana mereka mengambil pendekatan berdiam diri walaupun telah diarahkan berulang kali oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melunaskan tunggakan tersebut.

    “Terus terang saya katakan, kami sangat kesal dengan situasi ini. Mereka beria-ria untuk bermain dalam Liga Perdana musim hadapan, tetapi hutang tidak mahu bayar,” kata Roshadi.

    Apa yang pasti, pihak pengurusan Terengganu City FC perlu mencari jalan penyelesaian untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan juga pegawai pasukan yang sudah lama tertunggak.

    Baca Juga: Bekas Physio Hanelang Dan Terengganu City FC Tuntut Tunggakan Gaji

    Leave a comment

    Your email address will not be published.