• Masalah kewangan menjadi punca utama mengapa naib juara Liga Perdana musim 2018, Felcra FC menarik diri dari saingan Liga Super musim hadapan.

    Perkara ini disampaikan oleh Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad yang mengatakan jumlah tajaan ditambah geran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum mencukupi untuk menguruskan pasukan.

    “Kewangan yang ada tidak cukup untuk kami bergerak kerana bagi menguruskan pasukan Liga Super, kami memerlukan bajet sekurang-kurangnya RM12 juta semusim.

    “Kalau diikutkan, dengan bajet RM4 juta pun saya boleh uruskan pasukan tapi jika masuk untuk sekadar menjadi pasukan belasahan, lebih baik tidak turut serta kerana kami membawa nama FELCRA Berhad.

    “Jadi, kami membuat keputusan untuk menarik diri supaya tidak mahu masalah berlaku pada masa akan datang yang dikhuatiri akan terpalit imej FELCRA Berhad juga,” katanya kepada Berita Harian.

    Tambah Datuk Hazian, tindakan menarik diri sebelum musim baharu bermula juga dirasakan wajar sekali gus mengelak berlakunya masalah di pertengahan liga sekiranya pasukan itu terus berdepan kekangan kewangan.

    Pasukan bimbingan Tarcisio Pugliese ini berjaya layak ke saingan Liga Super musim hadapan setelah muncul sebagai nain juara kepada Felda United dalam saingan Liga Perdana musim ini. Felcra menampilkan aksi yang konsisten sepanjang musim dan salah seorang penyerang mereka, Casagrande menjadi penjaring terbanyak Liga.

    Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan Felcra FC sudah mengemukakan surat rasmi mengenai penarikan diri mereka kepada badan pengelola liga itu selepas berakhirnya tempoh pengesahan pasukan iaitu semalam.

    Penarikan diri Felcra FC disebabkan masalah kewangan ini bermakna ada satu slot kosong yang nantinya bakal diputuskan pasukan mana yang akan mengisi slot tersebut.

    Baca Juga: Felcra FC Sah Tarik Diri Dari Saingan Liga Super

    Leave a comment

    Your email address will not be published.