• Skuad Harimau Malaya berdepan misi wajib menang dimana mereka akan bertandang ke Hanoi bagi menghadapi pasukan Vietnam Jumaat ini dalam perlawanan ketiga kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2018.

    Sebelumnya, pasukan negara berjaya mencatat kemenangan dalam dua perlawanan pertama kumpulan A dimana Malaysia menenwaskan Kemboja pada perlawanan pertama dengan keputusan tipis 1-0 dan menewaskan pasukan Laos pada perlawanan kedua dengan keputusan 3-1.

    Cabaran yang bakal diberikan oleh Vietnam Jumaat ini sudah tentu berbeza berbanding cabaran yang diberikan oleh Laos dan Kemboja. Dari segi barisan pemain, Vietnam dibarisi oleh beberapa pemain daripada skuad bawah 23 tahun mereka yang mara ke perlawanan akhir temasya AFC Bawah 23 Tahun di China pada awal tahun ini.

    Nama seperti Nguyễn Quang Hải dan Nguyễn Công Phượng menjadi watak penting pasukan bawah 23 tahun negara itu ketika kejohanan di China awal tahun ini dan sudah pasti kelibat mereka bakal memberi ancaman kepada pasukan negara.

    Satu lagi pemain yang mampu untuk memberikan ancaman kepada pasukan negara ialah ketua pasukan mereka, Nguyễn Văn Quyết. Văn Quyết merupakan salah satu pemain paling senior dalam pasukan Vietnam dan beliau sudah beberapa kali berdepan dengan pasukan negara. Pengalaman serta pengetahuan yang dimiliki oleh Văn Quyết bakal menjadi senjata tambahan Vietnam.

    Pasukan yang dijuluki The Golden Dragon ini hanya beraksi satu perlawanan setakat ini dimana mereka menewaskan pasukan Laos dengan keputusan 3-0. Masa rehat yang lebih banyak dari pasukan Malaysia sudah pasti digunakan dengan sebaik mungkin oleh juara edisi 2008 ini.

    Apa yang pasti, anak-anak buah Tan Cheng Hoe perlu menampilkan aksi maksimum serta tidak boleh memberikan sebarang ruang kepada pasukan lawan bagi memastikan Harimau Malaya pulang dengan keputusan positif dari bumi Hanoi.

    Pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh adan Zaquan Adha bakal menjadi sandaran utama untuk merobek gawang pasukan Vietnam sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir dalam saingan edisi kali ini. Ayuh Malaysia!

    Baca Juga: Shahrel Fikri Wajar Diberikan Peluang Untuk Tampil

    Leave a comment

    Your email address will not be published.