• Bekas pemain skuad kebangsaan, Nidzam Jamil sah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Felda United yang baru bagi menggantikan B.Sathianathan yang meletak jawatan sebelum ini.

    Nidzam sebelum ini memegang jawatan sebagai penolong jurulatih kepada B.Sathianathan dan keduanya berjaya membimbing Felda United kembali ke kancah Liga Super musim 2019 setelah menghabiskan “masa buangan” di Liga Perdana musim ini.

    Pengesahan mengenai pelantikan Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih yang baru diumumkan oleh pengurus kelab itu, Mohd Nasir Embong.

    “Saya sahkan Nidzam yang bertindak selaku penolong jurulatih FELDA United musim ini diberi tanggungjawab selaku ketua jurulatih musim depan.

    “Berdasarkan pengalaman yang dimiliki Nidzam, kami percaya pasukan akan mampu mencapai keputusan terbaik terutama dalam menghadapi saingan Liga Super,” katanya kepada Berita Harian.

    Nidzam Jamil bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh B.Sathianathan apabila beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan setelah tidak berpuas hati dengan pengurusan Felda United yang memotong gaji beliau sebanyak 60%.

    Pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih berusia 38 tahun ketika beraksi bersama Selangor, Negeri Sembilan dan PKNS FC menjadi sebab utama mengapa beliau dipilih sebagai ketua jurulatih pasukan yang baru.

    Apabila ditanya mengenai pemain yang bakal beraksi bersama Felda musim hadapan, Mohd Nasir menambah pengurusan pasukan juga sudah memberikan kontrak kepada pemain terpilih.

    “Tidak semua pemain yang beraksi musim ini ditawar kontrak kerana musim 2019 bakal menyaksikan pasukan ini bakal dibarisi pemain FELDA sendiri terutama daripada skuad Piala Presiden.

    “Namun, kita masih lagi menawarkan beberapa pemain berpengalaman untuk kekal dalam skuad ini, tetapi terpulang kepada mereka sama ada bersetuju dengan tawaran diberikan,” tambah beliau.

    Felda United beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Perdana musim ini dimana mereka berjaya muncul sebagai juara. Bukan sahaja muncul sebagai juara, mereka juga mendominasi Liga dimana mereka hanya tewas sekali, seri 7 kali dan mencatat kemenangan sebanyak 12 kali.

    Dengan kembalinya Felda ke saingan Liga Super, mereka dijangka bakal memberikan saingan kepada pasukan-pasukan besar untuk mencabar mahkota Liga Suepr musim 2019.

    Baca Juga: Sathia Berang Gaji Dipotong

    Leave a comment

    Your email address will not be published.