• Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil keputusan untuk menggugurkan enam pemain daripada pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

    Perkara ini disahkan oleh Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Muhammad Yadzan Mohammad dimana beliau menamakan dua pemain import iaitu pemain dari Filipina, Misagh Bahadoran dan pemain dari Lubnan, Jad Noureddine antara pemain yang digugurkan.

    “Seramai 10 pemain akan tamat kontrak pada akhir bulan ini, empat tamat kontrak bulan depan serta dua tamat kontrak pada 2020.

    “12 pemain pula akan tamat kontrak pada akhir tahun depan termasuk Nasir Basharuddin, Amirul Azhan, Nazirul Naim, Shahrul Saad dan Brendan Gan,” katanya kepada Berita Harian

    Tambah Yadzan, atas nasihat daripada ketua jurulatih pasukan, Mehmet Durakovic, dua daripada 12 pemain tamat kontrak akhir tahun depan akan ditamatkan kontrak mereka sebelum musim depan bermula.

    Bagi pemain yang dikekalkan pula, Yadzan memberi jaminan PAFA akan segera mengadakan perbincangan bersama para pemain mengenai lanjutan kontrak.

    “Perbincangan dengan beberapa pemain tempatan akan diadakan dalam waktu terdekat untuk menyambung kontrak mereka,” tambah Yadzan.

    Pengurusan pasukan Perak nampaknya tidak mahu membuang masa dalam mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan peringkat kelayakkan bagi saingan Liga Juara-Juara Asia musim hadapan.

    Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengesahkan Perak bakal menyertai Johor Darul Ta’zim sebagai wakil Liga Malaysia dalam saingan paling berprestij di Asia itu setelah segala dokumentasi dan juga pendaftaran menepati kriteria yang ditetapkan.

    Setelah menggugurkan enam pemain, kini apa yang perlu dilakukan oleh PAFA ialah membawa masuk pemain yang berkualiti bagi memastikan pasukan mampu untuk memberikan cabaran kepada pasukan yang akan dihadapi oleh mereka di peringkat kelayakan sekaligus mara ke peringkat kumpulan.

    Bukan saja pemain import, malah pemain tempatan yang bakal dibawa masuk nanti haruslah pemain yang berkualiti dan mempunyai pengalaman beraksi di pentas besar seperti ACL.

    Selain cuba untuk memberikan saingan dalam kejohanan ACL, Perak juga perlu memberikan saingan dalam liga domestik bagi mengekalkan momentum setelah memenangi Piala Malaysia musim ini.

    Baca Juga: PAFA Mahu Hasnul Teruskan “Perjuangan”

    Leave a comment

    Your email address will not be published.