• Pasukan Perlis memulakan persediaan untuk menghadapi musim 2019 dimana mereka kini dikhabarkan memburu khidmat bekas ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi bagi memperkuatan pasukan.

    Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata selain Piya, pasukan yang digelar Singa Utara itu turut mengincar seorang lagi bekas pemain Kelantan, Amiridzwan Taj Tajuddin.

    “Kami sudah bertemu Piya dan Amiridzwan serta beberapa pemain dari negeri lain minggu lalu bagi membincangkan perjalanan karier mereka bersama PFA pada musim hadapan.

    “Bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan meskipun saya boleh berkata pertemuan itu memberi petanda positif,” katanya kepada Berita Harian.

    Meskipun Badhri Radzi belum memberikan kata putus sama ada beliau mahu menyertai pasukan Perlis, Ahmad Amizal berharap pemain yang pernah digelar sebagai antara pemain tengah terbaik dalam Liga Malaysia itu menerima tawaran yang diberikan oleh pemenang Piala Malaysia edisi 2006 itu.

    “Pengalaman Piya yang pernah menyarung jersi kebangsaan antara faktor PFA mengadakan rundingan bersamanya. Jadi kita harapkan sesuatu yang positif daripada dia,” tambah Amizal.

    Sebelum ini, Piya dikhabarkan bakal menyertai naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC namun beliau segera menafikan khabar angin tersebut. Menurut Piya, pihak pengurusan Terengganu FC sama sekali tidak menghubungi beliau.

    Sejak dilepaskan oleh pasukan Kelantan pada pertengahan musim 2018, Piya tidak beraksi dengan mana-mana pasukan dan menjadi ejen bebas. Khidmat beliau ditamatkan oleh ketua jurulatih Kelantan ketika itu, Fajr Ibrahim kerana jurulatih dari Syria ini tidak gemar menggunakan pemain yang sudah berusia.

    Selain melepaskan Piya, beberapa pemain senior turut dilepaskan antaranya Khairul Fahmi Che Mat dan Nor Farhan Muhammad.

    Apa yang pasti, jika Perlis berjaya mendapatkan khidmat Badhri Radzi, maka mereka bakal mempunya jentera tengah yang baik kerana pengalaman yang dimiliki oleh Badhri mampu untuk membantu pasukan.

    Apa pendapat anda mengenai hasrat pasukan Perlis yang mahu mendapatkan khidmat bekas pemain skuad kebangsaan, Badhri Radzi bagi menghadapi saingan musim hadapan ? Mampukah Piya membantu Perlis kembali ke zaman kegemilangan ?

    Baca Juga: Pemain Dan Pegawai Perlis Menanti Gaji

    Leave a comment

    Your email address will not be published.