• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan posisi penjaga gol nombor satu pasukan negara yang diisi oleh Khairul Fahmi Che Mat sebelum ini belum terjamin dan penjaga gol lain berpeluang untuk tampil dalam perlawanan menentang Myanmar pada esok.

    Pada tiga perlawanan saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018, Khairul Fahmi menjadi pilihan utama Cheng Hoe untuk melindungi pintu gol negara daripada dibolosi. Setakat ini, Apek melepaskan tiga gol dimana beliau dibolosi satu gol ketika Malaysia menewaskan Laos dan beliau melepaskan dua gol ketika Malaysia tewas kepada Vietnam.

    Menjelang perlawanan menentang Myanmar, bekas pengendali Kedah ini menegaskan dua lagi penjaga gol iaitu Hafizul Hakim dan Farizal Marlias masih mempunyai peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama sekiranya mereka menunjukkan prestasi yang baik ketika sesi latihan.

    Hafizul dan Farizal sememangnya berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini. Hafizul menampilkan persembahan cemerlang ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 bulan lalu manakala Farizal pula menjadi penjaga gol dengan kutipan clean sheets terbanyak dalam saingan Liga Super musim 2018.

    Jika melihat dari semua aspek, sukar untuk memilih siapa yang layak mengisi posisi penjaga gol nombor satu negara pada perlawanan menentang Myanmar. Ketiga-tiga penjaga gol mempunyai kelebihan, pengalaman dan juga kemampuan yang tersendiri.

    Jika kami boleh memilih, Hafizul Hakim wajar diberikan peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama kerana pemain berusia 25 tahun ini tampil dengan konsisten bersama pasukan Perak musim ini.

    Apa yang penting, siapa saja yang diturunkan bagi mengawal pintu gol negara pada perlawanan menentang Myanmar pada esok perlu menampilkan aksi terbaik kerana ini adalah misi wajib menang pasukan negara bagi memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir terjamin.

    Sememangnya tiada jalan lain buat skuad Harimau Malaya mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir selain mencatat kemenangan dan Malaysia berpeluang untuk muncul sebagai juara kumpulan A andai pasukan Kemboja menewaskan Vietnam manakala Malaysia menewaskan pasukan Myanmar.

    Baca Juga: Matematik Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018

    Leave a comment

    Your email address will not be published.