• Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata beliau tidak akan tunduk dengan desakan daripada pihak yang cuba untuk membuat rampasan kuasa dalam persatuan itu.

    Menurut Tengku Amir, beliau kecewa dengan tindakan beberapa Exco yang dipecat sebelum ini kerana mereka cuba untuk mencetuskan kekecohan dalam persatuan. Bekas Exco ini diketuai oleh Omar Ali dan Datuk Ariffin Ab Hamid.

    Beliau juga pernah memanggil pihak terbabit namun mereka tidak pernah muncul dan menggunakan pelbagai alasan.

    “Saya sudah dua kali memanggil mereka mengadap untuk tahu apa masalah dan apa yang mereka mahukan. Tapi mereka tak datang. Mula-mula mereka kata ada masalah keluarga sebab itu tidak dapat datang,” kata Tengku Amir menurut laporan Berita Harian.

    “Jadi saya aturkan pertemuan kedua, sama juga tidak datang. Saya tidak akan melayan mereka lagi.”

    EGM yang diadakan pada Khamis lalu menyaksikan 52 ahli gabungan FAS melantik semula Tengku Amir selaku presiden dan selebihnya dibarisi muka baharu termasuk bekas Naib Presiden Persatuan BolaSepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dipilih sebagai Timbalan Presiden FAS.

    Sehari selepas itu, FAS menerusi kenyataan media menganggap kongres berkenaan hanya ‘perjumpaan’ biasa selain tidak mengiktirafnya kerana membelakangi Tengku Amir selaku presiden persatuan.

    “Semangat saya tetap bersama FAS untuk membuat perubahan. Namun saya agak kecewa dengan situasi sekarang apabila kita banyak membazir masa dengan isu-isu yang ditimbulkan oleh mereka ini.

    “Sepatutnya kita sudah boleh fokus membina pasukan lebih mantap menjelang saingan musim depan tapi kita terpaksa mengalih tumpuan dengan masalah ini.

    “Malah, apabila isu ini timbul, kita juga berdepan masalah kerana ada penaja yang takut-takut nak masuk, bimbang akan menjejaskan imej mereka. Tapi kita tetap berusaha untuk memastikan Selangor akan tampil lebih baik,” katanya.

    Apa yang pasti, Tengku Amir mengambil keputusan tepat untuk tidak tunduk kepada para pemberontak ini dan kekal fokus dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Baca Juga: Kami Ada Pelan B – Omar Ali

    Leave a comment

    Your email address will not be published.