• Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim dikhabarkan semakin hampir untuk kembali menyertai pasukan Selangor bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Menurut ketua jurulatih pasukan, B.Sathianathan, beliau tidak menolak kemungkinan Safiq bakal menyertai Selangor setelah pemain itu mengambil keputusan untuk berpisah dengan Johor Darul Ta’zim.

    Tambah Sathia, pihak FAS ada melakukan rundingan dengan Safiq namun bekas ketua jurulatih Felda United ini tidak mahu memberi kata putus sama ada Safiq akan menyarung jersi Merah Kuning ataupun tidak.

    Setakat ini, dua pemain iaitu Syazwan Zainon dan Halim Shaari merupakan pemain baru yang dibawa masuk oleh pengurusan pasukan Selangor. Sathia menyatakan lima pemain tempatan baru dengan dua daripada mereka bekas pemain Terengganu FC akan diumum dalam masa terdekat.

    “Ada lagi seorang pemain yang cuba saya bawa semula ke Selangor dan kalau ia berjaya, ini akan memudahkan kerja saya.

    “Ada lima lagi pemain tempatan serta tiga nama pemain asing, jadi semuanya mungkin lapan muka baru. Mereka tidak begitu muda tetapi sudah memiliki pengalaman,” katanya kepada Stadium Astro.

    Sathia juga memberi bayangan mengenai pemain import yang akan dikekalkan bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan. Jurulatih berusia 60 tahun ini menyatakan beliau mahu penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia kekal bersama pasukan selain mempertimbangkan pemain tengah Indonesia, Evan Dimas Darmono.

    “Sekarang ramai ejen dan semua menghantar nama. Kalau saya tidak tutup telefon, tidak dapat tidur. Semua meletakkan pemain dalam kelas dunia atau terhandal. Itu satu cabaran yang mungkin besar kerana untuk mendapatkan pemain tepat, ia bukan mudah,” tambah Sathia.

    Apa yang pasti, pemain yang dibawa masuk oleh pengurusan pasukan harus mempunyai kualiti yang baik bagi memastikan Selangor menjadi antara pasukan yang mencabar kejuaraan musim hadapan.

    Musim 2019 menjadi musim penting buat Selangor kerana mereka perlu bangkit setelah lama menyepi daripada memenangi kejuaraan utama dalam Liga Malaysia iaitu Liga Super dan juga Piala FA.

    Baca Juga: Kemana Destinasi Safiq Rahim Musim Hadapan ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.