• Pemain tengah negara, Akram Mahinan menjadi pemain yang kerap dilontarkan pujian oleh peminat kerana persembahan cemerlang beliau dengan mengawal bahagian tengah pasukan negara. Akan tetapi, seorang lagi pemain, Syamer Kutty Abba juga tidak kurang hebatnya.

    Syamer setakat ini menjadi pilihan utama ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe untuk digandingkan dengan Akram Mahinan di bahagian tengah. Setakat ini, Syamer hanya sekali sahaja diletakkan di bangku simpanan ketika pasukan kebangsaan turun menentang Laos di Bukit Jalil.

    Sebelum kejohanan berlangsung, ramai pihak yang mempersoalkan keputusan Cheng Hoe yang menyenaraikan Syamer dalam skuad utama dan mengeluarkan Nor Azam Azih. Ramai yang berpendapat Azam lebih sesuai kerana kualiti yang dimiliki oleh pemain Pahang itu jauh lebih baik berbanding Syamer.

    Namun, sepanjang Syamer diturunkan dalam kesebelasan utama, beliau membuktikan bahawa keputusan Cheng Hoe untuk membawa beliau dalam skuad utama bagi membawa cabaran Malaysia dalam saingan edisi kali ini adalah tepat.

    Syamer beraksi dengan baik dimana beliau berjaya mematahkan gerakan serangan yang diatur oleh pemain pasukan lawan. Selain itu, pemain tengah Johor Darul Ta’zim ini juga sering membantu barisan serangan pasukan negara dalam usaha untuk mencari jaringan.

    Jika Syamer Kutty Abba mampu untuk mengekalkan prestasi cemerlang beliau, tidak mustahil Malaysia boleh menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan peringkat separuh akhir seterusnya mara ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak edisi 2010.

    Bukan sahaja mampu untuk membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF, namun pemain berusia 21 tahun ini mampu untuk menjadi nadi utama pasukan kebangsaan pada masa akan datang.

    Apa yang penting, Syamer perlu sentiasa bekerja keras dalam meningkatkan lagi mutu dan juga tahap permainan beliau. Jika mempunyai peluang untuk beraksi di liga luar negara, maka beliau harus mengambil peluang tersebut.

    Untuk makluman, Syamer pernah beraksi bersama kelab Portugal, Vilaverdense FC di samping seorang lagi pemain Johor Darul Ta’zim iaitu Dominic Tan.

    Baca Juga: Gandingan Aidil Zafuan Dan Shahrul Saad Makin Serasi

    Leave a comment

    Your email address will not be published.