• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan beliau menggunakan empat perlawanan yang sudah dilalui oleh pasukan Thailand sebagai bahan uji kaji menjelang perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

    Meskipun pasukan lawan dilihat lebih berbahaya dari segala aspek, namun Cheng Hoe tidak mahu menidakkan peluang anak-anak buah beliau untuk mencipta kejutan dengan membawa bekalan selesa menuju ke perlawanan kedua di Bangkok pada 5 Disember nanti.

    “Kami tengok beberapa perlawanan mereka (Thailand) di peringkat kumpulan dan walaupun tak turunkan tiga atau empat pemain bintang mereka, kami boleh nampak mereka satu pasukan yang lengkap.

    “Bermula dari penjaga gol hingga ke jentera serangan, pemain mereka memang bagus. Thailand memiliki pemain dan liga yang berkualiti.

    “Pemain saya tidak boleh hilang fokus dan perlu lebih agresif. Kami tahu pemain mereka terutama Adisak (Kraisorn) cukup berbahaya kerana walaupun dapat peluang sedikit saja dia boleh jaringkan gol,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Tambah Cheng Hoe, beliau lebih selesa apabila pasukan negara dilabel ‘underdog’ kerana sedar dengan reputasi pasukan lawan yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun hadapan.

    Selain itu, beliau juga tidak mahu para pemain terlalu memikirkan kekalahan kepada lawan yang sama pada perlawanan akhir edisi 2014 dimana Malaysia ketika itu tewas kepada Thailand dengan keputusan 4-3 secara agregat.

    “Sudah pasti kami underdog, sebelum Piala AFF lagi saya sudah maklumkan kami underdog. Jadi kami perlu menggunakan segala kelebihan dan mengurangkan kesilapan,” tambahnya.

    Apa yang pasti, segala uji kaji yang dijalankan Tan Cheng Hoe diharapkan dapat membantu pasukan negara untuk meraih kelebihan awal pada perlawanan separuh akhir pertama Sabtu ini.

    Thailand sudah pasti tidak akan membiarkan Malaysia menguasai permainan kerana mereka juga mencari gol di tempat lawan yang nantinya boleh membantu mereka pada perlawanan kedua di laman sendiri nanti.

    Baca Juga: FAM Mohon Maaf Atas Insiden Pemukulan Penyokong

    Leave a comment

    Your email address will not be published.