• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu barisan serangan pasukan negara lebih tajam dan tidak menyia-nyiakan peluang pada perlawanan peringkat kumpulan yang seterusnya.

    Tan Cheng Hoe berkata persembahan anak-anak buahnya perlu dipertingkatkan selain tidak mempersiakan peluang yang dicipta. Pada perlawanan menentang Kemboja, pemain negara membazirkan banyak peluang terhidang.

    “Saya fikir persembahan pemain secara keseluruhan perlu dipertingkatkan. Memang kalau secara keseluruhan pada babak pertama kita kelihatan agak kelam-kabut tetapi selepas menjaringkan gol pemain mula mendapat keyakinan.

    “Babak kedua, kita banyak mensia-siakan peluang yang ada. Saya harap untuk perlawanan seterusnya pemain dapat tingkatkan prestasi mereka,” katanya kepada Utusan.

    Bekas pengendali Kedah ini kemudiannya mengingatkan peminat bahawa perlawanan sulung akan sentiasa menjadi sukar kerana pasukan masih lagi mencari rentak sebenar.

    “Memang dalam mana-mana pertandingan, perlawanan pertama sukar untuk dapatkan momentum tambahan pula bermain di atas padang tiruan yang sedikit sebanyak menjejaskan hantaran.

    “Walau bagaimanapun, pemain tetap menunjukkan komitmen yang tinggi dan akhirnya berjaya membawa pulang tiga mata penting,” tambah beliau.

    Barisan serangan negara perlu lebih tajam jika mereka mahu mencabar pasukan Vietnam bagi merebut kedudukan pertama dalam kumpulan A. Selain itu, barisan serangan yang tajam akan membolehkan jaringan diperoleh sekaligus membantu pasukan negara jika ada perkiraan head to head dilakukan.

    Pasukan Vietnam kini menerajui kumpulan A berbekalkan kelebihan gol ke atas Malaysia selepas menumpaskan pasukan Laos 3-0 di Vientiane.

    Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe pula akan turun berdepan pasukan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok dan kemenangan akan mencerahkan peluang Harimau Malaya untuk mara ke peringkat separuh akhir.

    Baca Juga: Jangan Pandang Rendah Laos – Safawi Rasid

    Leave a comment

    Your email address will not be published.