• Naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC semalam mengumumkan bahawa mereka telah membawa masuk seramai 10 pemain baru bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    10 pemain yang dimaksudkan ialah Ahmad Syamim Yahya, Muhammad Azalinullah, Khairul Izuan Rosli, Khairul Anwar Shahrudin, Ilham Amirullah, Khairu Azrin dan empat pemain daripada pasukan Terengganu FC II dan Terengganu FC III iaitu Mohamad Shafawi, Muhammad Bin Mohd Fauzi, Muhamad Sharin Sapien dan Mohd Haidhir.

    Syamim dan Khairu Azrin dibawa masuk bagi menggantikan dua pemain utama yang meninggalkan pasukan iaitu pemain sayap, Faiz Nasir yang semakin hampir menyertai Melaka United dan J.Partiban yang menyertai pasukan Perak.

    Bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Ilham Amirullah bakal memberikan persaingan kepada penjaga gol senior, Suffian Abdul Rahman dan juga Wan Azraei. Khairul Izuan Rosli dan Khairul Anwar atau yang lebih dikenali dengan panggilan Bentong dibawa masuk bagi memperkuatkan lagi barisan serangan pasukan.

    Tetapi apa yang menjadi perhatian ialah empat pemain muda yang dinaikkan pangkat untuk beraksi dengan pasukan senior. Shafawi beraksi dengan baik bersama pasukan TFC III dimana beliau membantu pasukan memenangi Piala Presiden 2018.

    Menurut kenyataan Terengganu FC di laman media Facebook mereka, Muhammad bakal memperkuatkan bahagian pertahanan. Sharin Sapien dan Haidhir Suhani bakal memberikan cabaran kepada pemain di bahagian tengah dan juga serangan.

    Meskipun kehilangan pemain utama seperti Faiz Nasir dan juga J.Partiban, nampaknya Terengganu FC tidak akan terjejas dalam saingan Liga Malaysia 2019 kerana pemain yang dibawa masuk mempunyai kemampuan serta kelebihan mereka yang tersendiri.

    Syamim Yahyah dan Khairu Azrin musim ini berjaya membawa Felda United muncul juara Liga Perdana 2018 dan prestasi semasa mereka sudah pasti bakal menjadi taruhan utama Irfan Bakti musim hadapan.

    Tidak lupa mereka masih mengekalkan pemain utama yang lain seperti Lee Tuck, ketua pasukan, Kipre Tchetche, pemain sayap lincah, Abdul Malik Mat Ariff dan Kamal Azizi.

    Baca Juga: Irfan Kenal Pasti Pengganti Faiz Nasir

    Leave a comment

    Your email address will not be published.