• Perlawanan diantara pendahulu kumpulan A, pasukan Myanmar menentang Vietnam semalam berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Ini bermakna, pasukan negara tiada pilihan lain selain meraih kemenangan pada perlawanan menentang Myanmar Sabtu ini bagi mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir.

    Pada perlawanan semalam, permainan yang seimbang ditampilkan oleh Myanmar dan Vietnam dimana kedua-dua pasukan saling melancarkan gerakan serangan namun kegagalan untuk memanfaatkan peluang nyata mengecewakan mereka.

    Keputusan seri tanpa jaringan ini sememangnya satu keputusan yang diharapkan kerana ianya mencerahkan peluang Harimau Malaya untuk mara ke peringkat separuh akhir dan juga membuka peluang untuk Malaysia menjadi juara kumpulan A.

    Jika Malaysia berjaya menewaskan pasukan Myanmar manakala Vietnam hanya sekadar mencatat keputusan seri ataupun tewas ketika berdepan dengan Kemboja, maka pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe akan mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan A.

    Senario yang lain adalah jika pasukan negara menewaskan Myanmar dan Vietnam juga berjaya menundukkan lawan mereka, maka Malaysia akan layak sebagai naib juara kumpulan dan berkemungkinan besar bakal berdepan dengan juara lima kali iaitu Thailand yang ketika ini sedang berada di puncak kumpulan B.

    Setelah tewas 2-0 pada perlawanan menentang Vietnam minggu lalu, sememangnya tiada pilihan lain bagi anak-anak buah Tan Cheng Hoe selain mengutip tiga mata penuh pada perlawanan Sabtu ini bagi mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya.

    Berdepan Myanmar nanti bukan sekadar mahu menamatkan perlawanan di peringkat kumpulan malah pasukan negara dilihat mahu membalas dendam di atas kekalahan pada edisi 2016 dimana Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan apabila tewas tipis 1-0 kepada Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan.

    David Htan ketika itu mengecewakan pasukan yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee dimana Htan menjaringkan gol pada minit-minit terakhir permainan sekaligus membuatkan Malaysia berputih mata.

    Apa yang pasti, para pemain perlu menampilkan aksi terbaik mereka kerana nasib pasukan negara dalam kejohanan edisi kali ini terletak pada keputusan yang bakal diraih pada Sabtu ini.

    Ketika artikel ini ditulis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa sebanyak 30,000 tiket sudah terjual. Mari kita penuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyemarakkan lagi semangat para pemain.

    Baca Juga: Elak Tragedi Edisi 2016 Berulang

    Leave a comment

    Your email address will not be published.