• Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata satu-satunya jalan untuk berjaya dalam bola sepak ialah bekerja keras. Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis pelancaran peta hala tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diberi nama F:30.

    Infantino berada di Kuala Lumpur buat kali pertama sebagai Presiden FIFA berkata unsur penting yang diperlukan dalam menyaingi negara yang memiliki pasukan bola sepak yang hebat, adalah disiplin dan pelan tindakan atau halatuju yang menyeluruh.

    “Tidak ada formula silap mata, tidak ada rahsia. Untuk melihat Malaysia akan menjadi juara dunia pada masa hadapan. Satu-satunya jalan adalah dengan bekerja keras.

    “Sudah pasti di negara seperti Malaysia, dengan usaha gigih, kejayaan pasti datang. Tidak perlu menunggu kelahiran Ronaldo atau Messi di sini untuk membolehkan Malaysia menikmati kejayaan. Ia boleh dicapai menerusi usaha keras, disiplin dan pelan tindakan yang lengkap,” katanya menurut laporan Astro Awani.

    Semalam, FAM telah melancarkan satu Roadmap baharu dimana FAM menetapkan sasaran untuk pasukan kebangsaan berada dalam kelompok lima pasukan gergasi bola sepak terbaik di Asia menjelang 2030.

    Selain dihadiri oleh Gianni Infantino, majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa. Shaikh Salman berharap Malaysia bakal memperoleh hasil daripada inisiatif ini.

    “Bagi pihak AFC, kami mendoakan agar Malaysia mendapat hasil daripada pelaburan dan juga inisiatif yang hebat ini,” katanya.

    Peta hala tuju yang dikeluarkan ini nyata memberikan sinar baru kepada peminat bola sepak tanah air mengenai perjalanan pasukan kebangsaan pada masa akan datang. Selain itu, program akar umbi dan juga bola sepak wanita kini bakal mendapat lebih perhatian berbanding sebelum ini.

    FAM sudah pasti akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam merealisasikan peta hala tuju ini. Apa yang pasti, sukan bola sepak secara keseluruhan boleh dinaik taraf ke satu tahap yang lebih baik sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka.

    Baca Juga: FAM Lancarkan Peta Hala Tuju Baru

    Leave a comment

    Your email address will not be published.