• Bekas ketua jurulatih pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan sah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Melaka United bagi menggantikan E.Elavarasan yang meletak jawatan bulan lalu.

    Setelah Elavarasan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak, pihak pengurusan Melaka United kemudiannya mencari pengganti kepada beliau dengan nama bekas penolong B.Sathianathan ketika di Felda United, Nidzam Jamil menjadi sebutan.

    Namun, pihak pengurusan pasukan dilihat lebih memilih Zainal kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam membimbing pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

    Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Presiden MUSA, Adly Zahari telah memberi kebenaran kepada pasukan untuk menghantar surat tawaran kepada Zainal.

    “Presiden (Adly Zahari) sudah memberikan lampu hijau kepada pasukan untuk mengambil Zainal selaku jurulatih dan hari ini, saya bersama wakil Presiden sudah menyerahkan surat tawaran kepada Zainal.

    “Saya menjangkakan dalam masa terdekat, Zainal akan ke Melaka untuk menandatangani kontrak. Kita mahukan perkara ini diselesaikan segera supaya memudahkan lagi persiapan pasukan untuk musim depan,” katanya ketika ditemui Berita Harian.

    Musim ini, Melaka United telah dibimbing oleh dua jurulatih. Pada mulanya, Eduardo Almeida diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan. Akan tetapi, dereta keputusan perlawanan yang tidak memihak kepada Melaka telah menyebabkan Almeida direhatkan dan digantikan dengan E.Elavarasan.

    Di bawah bimbingan Elavarasan, Melaka berjaya mengekalkan status Liga Super untuk satu lagi musim. Namun, bekas pengendali PKNS FC ini mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak.

    Datuk Yusoff menambah Zainal Abidin Hassan masih lagi memiliki auranya yang tersendiri selain memiliki pengalaman yang luas dalam mengendalikan pasukan dalam kancah bola sepak tempatan.

    “Sebelum ini, dia mengendalikan pasukan Liga Perdana. Jadi kami melihat ini sebagai peluang untuk Zainal kembali ke saingan Liga Super dan membuktikan kemampuannya di pentas yang lebih tinggi sama seperti sebelum ini.

    “Kami mengharapkan peluang ini mampu menjadi motivasi kepada Zainal sekali gus menjadikan Melaka sebagai pencabar pada musim depan,” katanya.

    Baca Juga: Khairul Fahmi Che Mat Kekal Bersama Melaka United

    Leave a comment

    Your email address will not be published.